KISAH yang dipaparkan minggu lepas menarik perhatian saya, begitu kata Nuriman Sari dalam E-mel pendeknya dan ketika kami berbual. “Menarik macam mana?” tanya saya.
“Sebab terasa macam kena mengena dengan saya walaupun saya bukan ibu tunggal seperti diceritakan dan saya tidak berkahwin, tetapi saya sering dihadapkan dengan masalah tersebut.
“Sementelah saya berusia 50an, sering ditanya soalan-soalan yang menyakitkan teliga dan hati. `Kau nak kahwin tak? Ada orang nak berminat dan ingin lamar kau’. Pedihnya telinga rasa nak ramas-ramas mulut orang yang bertanya, tetapi sekali pandang, dia guru kelas agama kita, ibu saudara kita, dan paling tak tahan bila ibu sendiri yang bertanya.
“Kata mereka, jangan tinggal sendirian, kahwinlah, ada teman bila usia semakin tua. Kalau nikah dengan si polan tu, bagus, dia ada banyak harta, semua anak-anaknya dah kahwin, kau boleh duduk rumah besar dia. Dia ada pencen, tak susahkan kau nanti
“Tak susahkan saya? Apa hampa fikir buta-buta dia nak bagi harta dia pada isteri baru? Anak-anak dia tutup mata ke? Tutup mulut ke? Semua anak dia setuju ke? Selalunya setelah semua harta ayahnya bertukar milik kepada anak-anak, baru anak-anak benarkan ayah mereka kahwin. Untuk apa kalau bukan untuk jadi pembantu bapak depa, jaga kesihatan ayah depa, jaga keselamatan ayah depa, bukan untuk jadi isteri.
“Kadang-kadang saya fikir mereka ni cuma pandang harta lelaki yang minta tolong carikan isteri untuk dia. Tak fikir hati budi anak-anak lelaki tersebut. Banyak terjadi si isteri dijadikan seperti pembantu menjaga ayah mereka. Setelah ayah meninggal, si ibu tiri disuruh keluar rumah macam mereka halau pembantu rumah selepas tamat kontrak. Banyak kes berlaku macam kisah DCCK minggu lepas, tetapi orang kita ni tak peduli. Dah terkena baru menyesal.
“Dulu-dulu masa berusia 30an memang saya diam, malas nak cakap, tetapi sekarang setelah usia bertambah saya jawab balik, ada kalanya dengan nada tinggi, `Saya tak minat nak kahwin!”
“Pertanyaan seterusnya memang sering menyakitkan hati dan telinga. Tak perlu saya cakapkan di sini, sebaliknya saya akan jawab `Ni, apa cerita ni, saja nak halau saya balik rumah saya ke? Tak suka saya balik kampung ke?’ Baru mereka diam. Tapi bila ibu dah tak ada, biasanya mereka bertanya melalui telefon. Masih nak jodohkan saya jugak.
“Kepada kakak dan sepupu sepapat, terus terang saya kata `Saya tak minat nak kahwin,’ saya lebih selesa hidup sendiri. Lagi pun saya terlalu sibuk dengan tugas, takkan tak boleh faham tugas saya. Saya tak ada masa nak layan makan minum orang lain. Saya sudah terbiasa hidup sendirian bertahun-tahun, tenang tanpa gangguan, jadi saya tak selesa kalau ada orang lain di sisi saya, yang minta dilayan macam-macam. Saya bukan pembantu rumah!

“Kata kakak, dia pun bekerja, boleh berkahwin, boleh berkeluarga dan sampai sekarang masih boleh layan makan minum keluarga, mengapa saya tak boleh berubah demi masa depan saya, supaya saya tidak hidup sendiri yang amat membosankan?
“Kepada kakak dan wanita lain yang seangkatannya, awak semua sudah ada teman hidup sejak muda, sejak belum banyak tugas di pejabat. Jadi awak sudah biasa dengan cara hidup seperti itu, melayan anak dan kerenah suami. Tetapi saya lain, saya selesa sendirian sebab dari awal saya tak berkongsi hidup dengan orang lain.
“Maaf cakap, sebelum ada rumah sendiri seperti sekarang, memang saya berkongsi rumah dengan 3 orang kawan dalam sebuah rumah 3 bilik. Walaupun berteman, tetapi kami biasanya buat hal sendiri. Kami jarang masak, kecuali hari cuti. Kami sering makan di luar sebelum balik rumah.
“Biasanya kalau rajin saya beli lauk pauk kegemaran saya di kantin. Balik rumah saya masak nasi. Kalau malas saya minum Milo panas dengan roti sudah cukup. Begitu juga dengan rakan serumah lain, ada yang memang tak makan malam sebab nak jaga badan kecuali hot coffee sahaja. Sebab ada antara kami sibuk dan ada yang belajar luar kampus.
“Biasanya kerana sibuk bekerja, belajar, membuat kami tak minat nak berkahwin, tambah-tambah bila dengar pelbagai masalah orang berumah tangga menyebabkan kami hilang mood. Saya jadi hangat hati bila dengar cerita ada suami suruh isteri pinjam duit bank untuk dia buat bisnes, tapi bila bisnes berjalan elok dia tinggalkan isterinya cari perempuan lain. Bila bisnes nak mampus, balik semula kepada isteri. Cerita seperti ini membuatkan saya langsung tak minat berkahwin, lebih baik hidup sendiri, lebih bahagia.
“Biarlah orang kata bahagia bila ada keluarga sendiri, tetapi saya bahagia bila saya ada rumah sendiri, ada simpanan dan boleh melakukan pelbagai aktiviti yang menyenangkan hati. Saya rasa cukup selesa. Setiap tahun kami kaum wanita seangkatan boleh merancang melancong ke mana sahaja yang kami suka tanpa fikir masalah tinggalkan keluarga. Tanpa minta izin suami. Sebab bukan semua suami suka melancong. Kalau pun ada yang suka melancong, dia akan suruh kita bayar perbelanjaan dia supaya dapat ikut sama. Aduhaiii! Lemas!

“Walau apa pun, dalam usia saya sekarang saya lebih senang jaga diri sendiri, bukan jaga orang lain. Terus terang saya beritahu, saya tak pandai masak, lagi parah kalau kena jaga sakit pening suami! Minta ampun!
“Ada juga cadangkan saya ambil dan pelihara anak angkat supaya dia boleh jaga kita bila tua nanti. Aduhai! Ini macam mengharapkan balasan. Belum tentu anak angkat itu boleh jaga kita. Sedangkan ada anak sendiri pun dia tinggalkan emak ayahnya, ini pulak anak angkat.
“Tak saya nafikan ada anak angkat yang bertanggung jawab, tetapi mungkin satu dalam seratus, ikut nasib kita juga. Jadi lebih baik kita jaga diri sendiri.
“Sekarang zaman sudah berubah, kehidupan kita juga turut berubah. Kini terdapat banyak rumah-rumah khas yang boleh dikatakan macam Pondok khas menempatkan wanita dan lelaki yang tidak ada anak atau waris. Cuma kita perlu cari Pondok yang sesuai dengan kita, yang memudahkan kita buat amal ibadah, boleh pergi ke surau, solat berjemaah dan sebagainya. Apa yang kita perlu buat, siapkan duit.
“Sepuluh tahun dahulu memang kita dengar orang Melayu berasa malu dan takut dihantar oleh anak-anak ke Rumah Orang Tua-tua. Konon terasa diri tercampak tak dipedulikan dan dibuang oleh anak-anak. Mungkin itu Rumah Orang Tua-tua milik Kebajikan Masyarakat dan kerajaan. Tetapi sekarang zaman sudah berubah. Terdapat banyak rumah orang tua persendirian yang boleh dipanggil pondok yang didirikan secara persendirian, tetapi rumah-rumah tersebut menyediakan pelbagai kemudahan untuk penghuninya.
“Malah saya fikir lebih baik orang tua-tua yang tidak ada anak dan tak berkahwin tinggal di Pondok tersebut daripada duduk bersama anak-anak, kerana anak-anak sibuk mencari rezeki dan kita tak terdaya lagi menjaga cucu. Dan mungkin kita sendiri merasa kurang selesa kerana kita tidak ada masa untuk beramal ibadah.

“Saya bukan nak kempen duduk rumah orang tua atau duduk Pondok, tetapi inilah yang banyak dibicarakan orang zaman sekarang, kerana zaman sudah berubah, pandangan masyarakat juga berubah, jadi Rumah atau Pondok seperti ini menjadi pilihan. Ini kerana di Pondok mereka boleh buat kerja amal ibadah dengan lebih teratur selain daripada sikap saling membantu antara sesama penghuni.
“Terdapat ramai wanita berumur sekarang memilih tinggal di rumah orang tua atau Pondok daripada duduk bersama anak-anak. Ada antara kawan-kawan saya yang sudah menempah atau menyewa rumah tersebut yang mereka panggil Pondok Damai. Mereka ada simpanan hari tua dan ada pencen.
“Kata mereka, masa muda dan bertenaga kita bekerja keras mencari rezeki, ada ketikanya kita terlalai dan tertinggal solat. Jadi setelah berusia dan berpenat lelah bekerja mencari rezeki, maka sampailah waktunya mereka berbakti dan beramal untuk diri sendiri sementara menanti panggilan Allah S.W.T..
“Daripada apa yang saya lihat dan lawati di Pondok Damai (bukan nama pondok sebenar) ada bilik-bilik atau rumah-rumah khas dibina untuk mereka tinggal. Turut disediakan sebuah masjid ataupun surau, sebuah dewan ceramah dan kemudahan mengadakan majlis jamuan jika ada sesiapa yang ingin bersedekah menjamu orang.
“Terdapat juga rumah-rumah yang dibeli khusus oleh orang ramai dan mereka kemudian mewakafkan rumah tersebut untuk didiami oleh sesiapa yang mahu tinggal di situ. Mereka cuma perlu bayar bil utiliti secara berkongsi dengan rakan serumah.
“Lebih istimewa kalau kurang mampu, mereka bukan sahaja boleh tinggal di pondok wakaf tersebut secara percuma, malah boleh menghadiri majlis-majlis ilmu yang dianjurkan, tidak perlu berjalan jauh kalau tidak ada kenderaan sendiri.
“Pendek kata kehidupan di `Pondok Damai’ ini lebih mudah, teratur dan cukup selesa daripada duduk bersama anak-anak, yang mungkin menyulitkan anda keluar pagi atau malam hari untuk solat berjemaah, mendengar ceramah, belajar mengaji Quran dan sebagainya.
“Jika sakit pening ada rakan sebilik yang boleh membantu, kecuali jika sakit terlantar yang memerlukan orang datang merawat anda setiap hari. Tetapi ini semua boleh dibereskan jika anda ada simpanan, ada pencen, sudah pasti ada orang yang boleh bekerja dan bersedia membantu anda, asalkan mereka mendapat upah sewajarnya.
“Zaman sekarang tidak ada lagi pandangan serong masyarakat jika anda duduk di Pondok Damai, atau merasa diri terbuang tidak dipedulikan oleh anak-anak. Malah tinggal di Pondok sudah menjadi tren golongan wanita kini yang suka hidup bersendirian, walaupun mereka ada anak cucu dan boleh hidup bersama mereka.
“Ini kerana kadang kala perangai anak cucu, terutama menantu yang tidak menyenangkan hati boleh menyakitkan hati dan mata kita. Dan dikhuatiri boleh menambah dosa.

“Wanita berkerjaya kini ramai yang sudah bersedia dan melengkapkan diri mereka dengan kehidupan selesa di dunia untuk bekalan akhirat. Malah ada yang berebut membuat amal jariah, bersedekah, berinfaq dan segalanya demi menambah saham akhirat. Jadi mencari suami bukan lagi menjadi pilihan mereka.
“Kata mereka, hidup di dunia cuma sementara, akhirat juga yang kekal. Jadi kerja keras menjadi wajib untuk mencari rezeki demi mendapatkan imbuhan sebagai bekalan akhirat. Saya tidak bersetuju dengan pandangan sesetengah orang kita yang kata kalau berkahwin dengan duda lanjut umur, maka kita dapat banyak pahala. Jangan tersilap, kadang kala boleh menambah dosa.
“Jadi teruslah hidup sendirian, jangan bimbang atau malu tinggal di Pondok, malah hidup di Pondok boleh mendekatkan kita dengan keinsafan demi mencari bekalan akhirat,’’ Demikian cerita Nuriman Sari yang kurang bersetuju ibu-ibu tunggal dan Andartu kahwin dengan duda, kerana bukan pahala yang bakal mereka raih, sebaliknya boleh mendatangkan dosa bila berlaku selisih faham dengan anak-anak duda tersebut. Bagaimanapun, fikirlah demi kebaikan diri sendiri. Tepuk dada tanya selera. Dan ukurlah baju di badan sendiri.
Kepada pembaca yang ingin bertanya dan ingin mencurahkan hasrat hati boleh E-mel terus kepada saya [email protected]
Oleh: MAIMUNAH YUSOF
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:
Facebook: https://www.facebook.com/utusantv
Twitter: https://twitter.com/UtusanTV
Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en
#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen #alislam