lelaki
Gambar hiasan

TIGA lelaki mempunyai ikatan saudara direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan kes bunuh seorang lelaki dipercayai dicekik di hadapan sebuah warung Pasar Pagi Flat Ashby, Ipoh, semalam.

Memetik laporan Bernama, perintah reman ke atas kesemua lelaki berusia 34 hingga 60 tahun itu dikeluarkan Majistret Noor Azreen Liana Mohd. Darus.

Ia selepas beliau menerima permohonan polis untuk menjalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Difahamkan, lelaki pertama adalah seorang peniaga berusia 34 tahun, lelaki kedua merupakan bapanya yang juga pesara berumur 60 tahun manakala lelaki ketiga seorang peniaga berusia 47 tahun yang juga saudara kepada anak-beranak tersebut.

Terdahulu, kesemua suspek tiba di Mahkamah Majistret Ipoh pada pukul 11 pagi diiringi polis.

Semalam, seorang lelaki maut dipercayai dicekik semasa bergelut dalam satu pergaduhan di hadapan sebuah warung.

Baca artikel berkaitan: Bunuh ahlong, enam lelaki termasuk dua remaja didakwa

Kejadian bermula apabila lelaki berusia 34 tahun itu dikatakan mencari Muhammad Noor Faqih Mohamed Ariffin, 29, di gerai berkenaan pada kira-kira pukul 7 pagi kerana dikatakan telah mencuri pembesar suara miliknya.

Menurut Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid, berlaku pergelutan kira-kira dua jam selepas itu antara Muhammad Noor Faqih dengan peniaga berkenaan sebelum disertai dua lagi lelaki berusia 47 dan 60 tahun hingga membawa kepada kematiannya.

Video kejadian berkenaan turut tular dalam media sosial, semalam.

Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram