ANTARA aksi menarik dalam perlawanan JDT menentang Terengganu FC di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam tadi. - Gambar Twitter MFL

JUARA Juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT) akan bertemu Kuala Lumpur City FC dalam perlawanan akhir Piala Malaysia 2021 selepas masing-masing menewaskan lawan mereka dalam perlawanan kedua separuh akhir malam tadi.

Pertemuan semula kedua-dua pasukan itu mengembalikan momen perlawanan akhir yang sama pada 1985 yang mana Johor dinobatkan sebagai juara setelah menundukkan Kuala Lumpur 2-0.

Dalam perlawanan malam tadi, Skuad Harimau Selatan menewaskan Terengganu FC (TFC) 3-0 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puter, Johor yang melayakkan mereka memperoleh agregat 4-1 dalam perlawanan separuh akhir.

Sementara dalam perlawanan di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput, Melaka pula, KL City layak ke mara ke final Piala Malaysia selepas 32 tahun apabila menewaskan Melaka 5-3 menerusi penentuan sepakan penalti pada aksi separuh akhir kedua

Perlawanan itu terpaksa ditentukan menerusi penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 sekali gus terikat dengan agregat 2-2 selepas tamat masa tambahan.

Aksi yang bermula lewat itu akibat gangguan elektrik menyaksikan Melaka lebih awal melakukan asakan menerusi percubaan Giovane Gomes pada minit kelima dan ketujuh namun gagal menembusi kubu pelawat.

Pada aksi ‘panas’ di Stadium Sultan Ibrahim pula, JDT bermula garang apabila berjaya meledak tiga gol dalam 15 minit pertama, seolah-olah memberikan amaran kepada pasukan pelawat.

Skuad kendalian Benjamin Mora membuka jaringan menerusi rembatan jarak jauh kaki kiri penyerang dari Brazil, Bergson da Silva pada minit keenam, yang gagal diselamatkan oleh penjaga gawang TFC Mohd Suhaimi Husin.

Kelalaian barisan pertahanan skuad Penyu untuk mengawal perlawanan terus dihukum oleh juara Liga Super itu, apabila penyerang import dari Argentina Gonzalo Cabrera menggandakan jaringan empat minit kemudian.

Juara dua kali (2017, 2019) JDT, yang melakukan serangan bertali arus seperti hujanan peluru berpandu menambah derita buat pasukan kendalian Nafuzi Zain, selepas  Bergson yang tidak dikawal, sekali lagi melepaskan rembatan kencang ke dalam gawang, kali ini dari jarak dekat pada minit ke-14.

Bagaimanapun, pesta dan keriangan JDT tidak bertahan lama apabila perancang tengahnya Safiq Rahim dilayangkan kad merah oleh pengadil Muhammad Nazmi Nasaruddin dua minit kemudian, kerana mengasari dan ‘menanduk’ Muhammad Faisal Halim.

Namun, TFC yang juga juara edisi 2001, gagal menggunakan kelebihan beraksi menentang 10 pemain untuk bangkit merapatkan jurang, menyaksikan keputusan terikat 3-0 hingga wisel penamat.

Kedua-dua pasukan terikat 1-1 pada aksi separuh akhir pertama di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Isnin lepas.

Sementara itu dalam perlawanan di Melaka, ketika keghairahan tuan rumah melakukan asakan, KL City mencuri peluang menerusi aksi kelam kabut di muka gawang Melaka untuk jaringan pembukaan perlawanan.

Situasi terbabit membolehkan K Partiban berjaya menolak masuk jaringan pertama pasukannya pada minit kesembilan untuk menewaskan penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat.

Cemas selepas ketinggalan, skuad Hang Tuah cuba mengatur gerak lebih agresif bagi memadam kelebihan jaringan terbabit.

Beberapa percubaan bahaya tuan rumah menerusi Ahmad Syamim Yahya m-19 dan Adriano Narcizo (m-31) bagaimanapun berjaya diselamatkan penjaga gol Kevin Mendoza.

Babak kedua menyaksikan Melaka terus berusaha memecah kebuntuan jaringan namun percubaan deras Khairul Anwar Shahrudin pada m-52 diselamatkan Kevin.

Kehadiran kira-kira 20,000 penyokong setia jelas membakar semangat tuan rumah untuk menggandakan asakan ke kubu pelawat kerana menyedari perlu untuk menyamakan kedudukan dan mencari gol tambahan.

Bagaimanapun, percubaan Manuel Ott pada minit ke-58 tersasar ke kiri gawang namun gol yang dicari akhirnya menjelma pada minit ke-65 menerusi jaringan Syamim.

Gol terbabit berpunca daripada sepakan sudut Sony Norde yang membias ke kaki Syamim yang pantas menolak masuk gol penyamaan.

Bagaimanapun, kedua-dua pasukan gagal mencari gol tambahan pada baki aksi termasuk masa tambahan sekali gus menyaksikan perlawanan terpaksa ditentukan menerusi penentuan penalti.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram