KINI 6.1 juta pencarum KWSP mempunyai kurang daripada RM10,000 dalam akaun selepas membuat pengeluaran. - Gambar hiasan

i-SINAR, i-Lestari, i-Citra. Bunyinya memang indah berseni. Namun bersama keindahan ini juga mengalir keluar wang simpanan hari tua para pencarum dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Memang seronok mengeluarkan simpanan melalui pelbagai skim dibenarkan kerajaan. Tetapi akibatnya simpanan menyusut. Mereka yang mempunyai caruman sedikit akan lebih terasa.

Menurut laporan, kini 6.1 juta pencarum KWSP mempunyai kurang daripada RM10,000 dalam akaun selepas membuat pengeluaran. Daripada jumlah tersebut 3.6 juta mempunyai kurang daripada RM1,000 dalam simpanan. Majoriti yang mengeluarkan simpanan adalah daripada kategori B40 dan M40.

Selain itu, seramai 479,000 atau 29.6 peratus daripada 1.62 juta pencarum dalam kategori umur 45 hingga 59 tahun mempunyai simpanan tidak lebih RM50,000 setakat 30 September 2021. Ini menampakkan pengurangan berbanding 484,000 pada akhir 2019.

Matlamat pelbagai skim pengeluaran KWSP adalah untuk mengurangkan beban pencarum yang terkesan akibat pandemik Covid-19. Tempias pandemik menyebabkan banyak sektor ekonomi gulung tikar atau ditutup sementara sehingga keadaan kembali pulih. Akibatnya ramai hilang kerja dan terputus sumber pendapatan.

Kerana itu kerajaan membenarkan pengeluaran caruman untuk membolehkan mereka memperoleh sumber kewangan bagi mengharungi hidup dalam suasana kepayahan Covid-19, di samping sedikit sebanyak bantuan kerajaan.

Dengan pengeluaran ini dan adanya tunai di tangan membolehkan pencarum berbelanja. Pada masa sama menambah kecairan dalam pasaran dan seterusnya meransang pertumbuhan ekonomi negara.

Tetapi ransangan ini adalah harga yang perlu dibayar oleh para pencarum dengan mengorbankan simpanan hari tua. Mereka terpaksa menggunakan simpanan sendiri untuk menolong diri sendiri dan membantu menyemarakkan ekonomi negara yang suram, dan akan bertambah suram jika terus tidak berkembang.

Dalam keadaan caruman menyusut, masih ada gesaan agar kadar pengeluaran caruman dinaikkan. Mantan perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, mahu kerajaan membenarkan pengeluaran sehingga RM10,000 melalui inisiatif i-Citra berbanding RM5,000 sekarang.

Jika ini direalisasikan, bertambah ramai akan menyaksikan simpanan mereka menyusut dan dibimbangi tidak ada apa yang tinggal nanti. Ia juga bermakna dana KWSP akan menyusut dan boleh menggugat pelaburan yang akhirnya tidak dapat menjanjikan dividen lebih baik kepada pencarum.

Menurut Kesatuan Kebangsaan Pekerja Bank (NUBE), aset pelaburan KWSP berkembang kepada RM1.02 trilion pada akhir tahun 2020. Namun angka ini merosot kepada RM989.14 bilion pada Jun 2021, satu penyusutan yang signifikan.

Tentunya ini bukan sesuatu yang menggembirakan untuk KWSP dan pencarum. Kemerosotan ini bermakna kemerosotan dana untuk pelaburan. Kemerosotan pelaburan tentunya menyebabkan kemerosotan agihan dividen.

Menurut NUBE, pencarum KWSP keseluruhannya dianggar telah mengeluarkan simpanan berjumlah RM101 bilion. Daripada tujuan asal menyimpan dan mengurus dana pencarum untuk hari tua, fungsi KWSP telah bertukar gara-gara pandemik Covid-19. Caruman menyusut, dividen juga bakal berkurang.

Kerana itu kerajaan mesti mengambil kira kepentingan pencarum dengan tidak membenarkan kenaikan kadar pengeluaran i-Citra dan menghentikan pengeluaran di bawah skim pengeluaran lain. Juga jangan memperkenalkan skim pengeluaran baharu. Permintaan berciri populis tidak seharusnya dilayan untuk memuaskan pihak tertentu tetapi menyusahkan pencarum di kemudian hari.

Mungkin ada pencarum bersetuju dengan saranan menambah pengeluaran di bawah skim i-Citra ini. Tetapi bagi mereka yang berfikiran jauh demi masa hadapan, tidak mudah tertarik dengan sesuatu yang menyebabkan kantung mereka dalam KWSP semakin kempis.

BERITA BERKAITAN Mana yang ambil i-Sinar, i-Citra, caruman baharu masuk Akaun 1 dulu

Kepada pencarum, ingatlah dana yang dikeluarkan adalah simpanan sendiri. Jangan ghairah membuat pengeluaran jika tidak perlu. Jangan mudah tergoda dengan kilaun i-Sinar. Simpanan yang dikeluarkan akan mengambil masa lama untuk dihimpun kembali menyamai simpanan sebelum pengeluaran.

Bagi yang telah mengeluarkan caruman, jimatlah berbelanja. Ingat, matlamat pengeluaran adalah untuk meringankan beban meneruskan hidup. Gunakan dengan berhemah untuk tujuan itu. Jangan gelap mata apabila wang sudah di tangan lalu dibelanja untuk tujuan lain yang tidak perlu.

Sebaik-baiknya gunakan wang tersebut untuk menjana wang. Misalnya untuk simpanan atau pelaburan yang boleh memberi pulangan seperti perniagaan kecil-kecilan. Langkah ini boleh secara perlahan mengimbangi dana yang telah dikeluarkan dan tidak perlu terus menerus mengeluarkan caruman selagi ada skim dibenarkan oleh kerajaan.

Nasib masa depan dan berapa panjang hayat seseorang hanya Allah yang tahu. Namun persediaan untuk hari muka perlu ada. Jika tidak untuk diri sendiri, sekurang-kurangnya untuk keluarga yang ditinggalkan.

Justeru berjimatlah dengan simpanan yang ada, termasuk caruman KWSP, hasil titik peluh bekerja. Andai ditakdirkan panjang umur, jangan sampai masa depan diri dan keluarga diselubungi kegelapan dan kepayahan hidup lantaran tiada payung apabila hujan.

* Penulis memulakan kerjaya kewartawanan di Berita Harian pada 1979 sebelum menyertai Utusan Melayu pada 1980. Beliau kemudian melanjutkan pengajian kewartawanan sehingga peringkat sarjana di Boston University, Amerika Syarikat. Jawatan terakhir Penolong Ketua Pengarang Utusan


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!

Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram