DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob ketika merasmikan majlis sambutan Hari Penjaja dan Peniaga Kecil Peringkat Kebangsaan 2021 (HPPK 2021) dan pelancaran program Transformasi Pasar Malam, hari ini.

SEBANYAK RM48.52 juta program pembiayaan mikro disediakan kerajaan khusus buat penjaja dan peniaga kecil bagi menambah baik dan membangunkan semula perniagaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Keluarga Malaysia dalam kalangan penjaja dan peniaga kecil boleh memohon pembiayaan secara syariah dengan kadar keuntungan kosong peratus daripada Bank Rakyat iaitu agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

Kata beliau, kerajaan sentiasa komited dalam soal menjaga kebajikan rakyat untuk memastikan tidak ada yang tertinggal selaras dengan konsep kebersamaan diketengahkan dalam Keluarga Malaysia.

Perdana Menteri memaklumkan, penjaja dan peniaga kecil boleh memohon pembiayaan mikro antara RM10,000 hingga RM50,000 dengan tempoh bayaran balik hingga lima tahun.

“Pembiayaan yang dimohon boleh digunakan bagi tujuan pemulihan perniagaan seperti modal pusingan, pembelian peralatan atau perkakasan, bayaran gaji, bayaran sewa, bil utiliti dan lain-lain.

“Tiada sebarang kadar keuntungan dikenakan ke atas penerima biaya sebaliknya hanya kos pengurusan akan dikenakan sebanyak satu peratus atas kutipan yang diterima.

“Jadi, saya menyeru kepada Keluarga Malaysia untuk mengambil peluang yang ditawarkan ini bagi kelangsungan perniagaan masing-masing,” katanya.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob beramah mesra dengan penjaja dan peniaga kecil selepas merasmikan majlis sambutan Hari Penjaja dan Peniaga Kecil Peringkat Kebangsaan 2021 (HPPK 2021) dan pelancaran program Transformasi Pasar Malam, hari ini.

Baca artikel berkaitan: Kerajaan peruntuk RM25 juta Transformasi Pasar Malam – PM

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis sambutan Hari Penjaja dan Peniaga Kecil Peringkat Kebangsaaan 2021 (HPPK 2021) dan pelancaran program Transformasi Pasar Malam, hari ini.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, sambutan HPPK 2021 yang bertemakan ‘Keluarga Penjaja dan Peniaga Kecil Penggerak Ekonomi Rakyat’ adalah signifikan.

Ini kerana, beliau berkata, golongan penjaja dan peniaga kecil merupakan satu komponen yang cukup penting sebagai penggerak kitaran ekonomi domestik negara.

“Sambutan HPPK ini juga sebenarnya amat dekat di hati saya kerana semasa memegang portfolio Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, antara mandat adalah menjaga hal ehwal penjaja serta peniaga kecil.

“Saya menjadi menteri pertama merasmikan sambutan HPPK yang pada ketika itu diadakan di Putrajaya International Convention Centre (PICC) pada tahun 2012.

“Setelah hampir sedekat, Alhamdulillah sekali lagi saya diberi peluang semula untuk merasmikan HPPK 2021 pada hari ini.

“Tahniah diucapkan kepada Tan Sri Noh Omar kerana meneruskan legasi ini apabila fungsi kawal selia penjaja dan peniaga kecil dipindahkan ke Kementeriam Pembangunan Usahawan dan Koperasi,” jelas beliau.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram