POLIS sedang giat mengesan empat individu termasuk dua wanita yang dipercayai mempersenda golongan kurang upaya (OKU) dalam dua video yang tular dalam media sosial sejak kelmarin.

Ia susulan laporan polis dibuat seorang wanita berhubung tindakan keempat-empat suspek yang turut menggunakan bahasa kasar dan tidak sopan.

Menurut Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai, hasil siasatan awal polis mendapati pengadu telah menonton dua klip video yang telah dimuat naik menerusi aplikasi TikTok yang mempersenda dan menyalahgunakan kemudahan OKU.

Dalam video pertama, Eng Lai berkata, dua lelaki yang berlagak sebagai OKU dan mempersenda tempat letak kereta golongan itu di sebuah pusat beli-belah terkemuka di Kuala Lumpur.

Kata beliau, individu berkenaan juga didapati mengajuk perbuatan OKU selepas berjaya memarkir kenderaan mereka dan menggunakan bahasa kasar serta tidak sopan.

“Video kedua pula mengenai dua orang wanita yang telah menyalahgunakan tandas OKU di sebuah stesen minyak.

“Mereka bertindak mengajuk perbuatan seolah-oleh mereka adalah OKU fizikal yang tempang dan bergelak ketawa sambil membuat bunyi seperti seekor beruk,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Baca artikel berkaitan: Laporan 600 militan dari selatan Filipina rancang serang Sabah tidak benar – Polis

Mengulas lanjut, Eng Lai berkata, pengadu telah membuat laporan polis kerana beranggapan semua individu tersebut telah menghina komuniti OKU di Malaysia secara terang-terangan tanpa rasa bersalah.

Beliau berkata, pengadu turut berpendapat kesemua suspek menggunakan OKU sebagai bahan untuk menarik perhatian pengguna di media sosial.

“Kes telah diklasifikasikan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia kerana kesalahan dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan dengan penggunaan media sosial secara tidak wajar.

“Polis Kuala Lumpur menasihati orang ramai supaya sentiasa mematuhi undang-undang dan bersama-sama menjaga kesejahteraan serta keharmonian di Kuala Lumpur.

“Tindakan tegas berlandaskan undang-undang yang sedia ada akan diambil terhadap individu yang melanggar undang-undang ini,” jelas beliau.

Semalam, Ahli Dewan Negara yang juga Presiden OKU Sentral, Senator Datuk Ras Adiba Radzi membuat laporan polis di Balai Polis Jalan Travers, Brickfields terhadap beberapa individu yang menyalahgunakan kemudahan dikhaskan kepada golongan OKU.

Meskipun sudah menerima permohonan maaf dan memaafkan individu terbabit, namun Ras Adiba berkata, laporan polis perlu dibuat.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram