PADA penghujung kurun ke-18, seorang ahli falsafah Inggeris, Jean Baptiste Lamarck telah menyatakan bahawa sifat-sifat dan karakter semua makhluk hidup dapat diwarisi daripada induk ke generasi berikutnya. Karakter khas ini termasuklah ciri morfologi, anatomi dan tingkah laku seseorang.

Ketika Lamareck mengetengahkan perkara ini, umum mengetahui tentang perkara tersebut dan ia dianggap berlaku secara semula jadi. Karakter, sifat serta raut wajah seseorang sememangnya diakui dan dipengaruhi oleh ciri-ciri induk. Tetapi, apa yang menjadi persoalan di kalangan saintis kuno pada ketika itu ialah bagaimana perkara tersebut boleh berlaku.
Bagaimanapun, menjelang pertengahan tahun 1800-an, teori ini menjadi goyah dan dipertikaikan selepas penerbitan buku bertajuk The Origins of the Species oleh Charles Darwin.

Darwin dalam teori evolusinya berpendapat, genetik tidak semestinya diwarisi secara total, tetapi boleh berubah-ubah mengikut sesuatu keadaan. Teori ini bertahan selama beberapa dekad.
Sehinggalah pada 1866, seorang paderi dari Jerman, Gregory Mendel telah mengubah kembali fakta berkaitan genetik. Dalam kajiannya terhadap pokok kacang pis, Mendel berjaya membuktikan bahawa wujudnya unit-unit atau gen yang membawa maklumat genetik.
Hampir tiga dekad selepas itu, seorang ahli sains Inggeris, Agus Weisman pula mengemukakan teori bahawa sifat yang diwarisi sebenarnya mempunyai kaitan dengan bahan yang terdapat di dalam inti sel makhluk hidup. Bahan tersebut terdiri sejenis asid dan protein.
Dalam kajian selanjutnya pada awal abad ke-20, pengkaji Amerika Syarikat, Walter Sutton menyebutnya sebagai kromosom manakala Wilhem Johannsen pula menyatakannya sebagai gen. Pada ketika itu, protein dianggap sebagai molekul yang paling memungkinkan sebagai pembawa sifat genetik berdasarkan peranannya dalam kehidupan sel.

Bagaimanapun, menjelang pertengahan kurun ke-20, dua eksperimen berbeza telah berjaya membuktikan bahawa asid deodsiribonukleik (DNA) mempunyai fungsi sebenar sebagai pembawa genetik. Maklumat genetik disimpan dalam kromosom yang dibentuk daripada molekul DNA, dan ia merupakan bahan yang menghasilkan gen.
Dengan kata lain, DNA menyimpan segala maklumat berkaitan aktiviti sel, dan ia berlaku kepada setiap makhluk hidup sama ada manusia, tumbuhan, haiwan serta termasuklah organisma seni.
Sehinggalah pada tahun 1953, ahli sains telah berjaya mengungkai struktur sebenar DNA yang berbentuk gegelang dwi-heliks dan ia telah berjaya menjawab segala persoalan saintis genetik selama ini.

Ketika perkara ini menjadi suatu topik hangat kepada peradaban manusia suatu ketika dahulu, Al-Quran turut tampil dengan hujah yang komprehensif. Melalui kitab suci umat Islam, Allah berfirman dalam surah Al-Furqan yang bermaksud;
“Dan Dialah Tuhan yang menciptakan manusia dari air (mani), lalu dijadikannya titisan baka dan pertalian keluarga; dan sememangnya Tuhan mu berkuasa (menciptakan apa juga yang dikehendakiNya). (Surah Al-Furqan; ayat 54)
Berdasarkan kepada ayat di atas, Allah telah memberikan penerangan yang jelas bahawa setiap makhluk yang hidup di dunia ini akan mewarisi baka daripada induknya. Baka ini akan menentukan susur galur, dan ia merupakan mekanisme yang mampu dipertahankan dari generasi ke generasi.
Setiap manusia mempunyai warisan atau genetik yang unik dan tersendiri. Bentuk mata, warna kulit, warna mata, cap jari dan sebagainya adalah merupakan contoh warisan atau gen yang diturunkan daripada ibu bapa kepada waris kandungnya melalui kromosom yang membawa maklumat genetik.
Dengan kata lain, informasi DNA ini wujud secara kekal dan ia akan memberi jawapan bahawa siapa sebenarnya diri kita ini. Bahkan, ia terus kekal di dalam benih, darah, semen, kulit, air liur, rambut dan keseluruhan anggota tubuh manusia.

Selain daripada DNA, ayat dalam surah Al-Furqan ini secara tidak langsung turut menolak secara mutlak teori yang dicetuskan oleh Darwin. Malah, berdasarkan kajian oleh saintis genetik moden, adalah mustahil sama sekali manusia merupakan evolusi daripada seekor haiwan.
Ketika Al-Quran diturunkan lebih 1,400 tahun yang lalu, ilmu pengetahuan sains manusia belum mencapai tahap ini. Justeru, apabila isi kandungan Al-Quran mampu menyatakannya dengan tepat, ianya jelas membuktikan bahawa Al-Quran adalah wahyu dari Maha Pencipta iaitu Allah yang esa.
_______
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:
Facebook: https://www.facebook.com/utusantv
Twitter: https://twitter.com/UtusanTV
Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en
#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyenFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare

