MACAM-MACAM cara ‘scammer’ sekarang menipu, sampaikan ada yang mengaku mereka adalah ‘menteri’. Yang peliknya, ada pula rakyat negara ini yang tidak kenal menteri mereka sendiri sehingga tertipu oleh si penipu yang mengaku dirinya ‘menteri’ itu.
Akhir ceritanya seperti yang selalu kita dengarlah, mangsa akan diminta memasukkan sejumlah wang untuk apa sahaja urusan yang kemudiannya menyedari telah ditipu.
Kisah rakyat kita yang mudah tertipu ini setiap hari berlaku. Yang menarik dan terbaharu adalah seorang guru tadika ditipu oleh seorang ‘menteri’ yang mengajaknya berkahwin tetapi perlu memasukkan wang dahulu ke dalam bank.
Guru tadika di Kuantan tersebut mendakwa kerugian RM4,200 selepas berkenalan dengan seorang lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai ‘menteri’ menerusi laman Facebook pada awal bulan ini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Supt Mohd Wazir Mohd Yusof berkata mangsa wanita berusia 59 tahun itu mendakwa telah ditawarkan wang tunai RM1 juta dan kereta mewah Rolls-Royce sekiranya bersetuju menjadi isteri ‘menteri’ berkenaan.
Beliau berkata mangsa turut diminta untuk berurusan dengan seorang individu bernama Siti yang memperkenalkan dirinya sebagai pengurus bank sebelum diminta wang kononnya sebagai yuran pemprosesan sebagai isteri suspek.
“Mangsa seterusnya telah memasukkan wang sebanyak RM4,200 ke dalam nombor akaun milik seorang lelaki pada Jumaat lepas.
“Bagaimanapun, mangsa yang berasa ditipu dan tidak berpuas hati kerana suspek telah mempergunakan nama menteri untuk memperdayanya bertindak membuat laporan polis di Balai Polis Temerloh semalam,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Polis kini sedang mengesan suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan. – UtusanTV

