Para sukarelawan MRA telah mula mengagihkan bantuan kecemasan ke beberapa lokasi di Lembah Klang semalam.

MALAYSIAN Relief Agency (MRA) sebagaimana pada tahun sebelumnya telah menggerakkan usaha di seluruh negara untuk menghantar bantuan di negeri-negeri yang terjejas teruk banjir.

Presidennya, Dr Mohd Daud Sulaiman berkata, bantuan awal yang difokuskan oleh MRA adalah membekalkan pek makanan, pek makanan panas, bekalan air minuman, pek kebersihan dan keperluan bayi serta wanita untuk kegunaan mangsa yang tinggal di PPS.

“Pada tahun lepas, MRA telah menghantar bantuan banjir dengan jumlah RM 620,000.

“Justeru pada tahun ini MRA menyasarkan sumbangan bantuan bencana banjir RM1 juta daripada orang awam dan syarikat korporat yang bermurah hati,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Menurut beliau, sebagai permulaan operasi bantuan bencana banjir ini, MRA telah menerima sumbangan awal dana fasa kecemasan banjir sebanyak RM120,000 daripada Celcom Axiata Berhad.

Para sukarelawan MRA telah mula mengagihkan bantuan kecemasan ke beberapa lokasi di Lembah Klang semalam.

Baca: Mangsa banjir kini melebihi 43,000, Pahang paling ramai

PM umum bantuan RM1,000 kepada isi rumah terjejas banjir

“Sumbangan ini akan dikhususkan untuk membeli peralatan kebersihan seperti pam air, jet air, penjana kuasa dan peralatan keselamatan diri yang amat diperlukan sewaktu menghantar bantuan.

“Selain peralatan, sumbangan tersebut telah dimanfaatkan juga dalam bentuk pek makanan asas berserta air minuman dan diagihkan kepada 200 buah keluarga yang terjejas banjir di Kampung Pasir Baru, Klang Lama malam tadi.

“Sumbangan orang ramai boleh disalurkan ke Tabung Bantuan Kecemasan Mengharungi Monsun MRA menerusi akaun CIMB Bank – Malaysian Relief Agency (No. akaun: 86000 59478),” jelas Dr Mohd Daud.