PERMOHONAN bagi mendapatkan Bantuan Wang Ihsan (BWI) sebanyak RM1,000 yang disediakan kerajaan kepada rakyat ditimpa bencana tidak pernah ditutup.
Malah, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan akan tetap memberikan bantuan berkenaan apabila rakyat berhadapan bencana.
Menjawab dakwaan Hannah Yeoh di Twitter, Perdana Menteri turut meminta Ahli Parlimen Segambut itu supaya memeriksa fakta terlebih dahulu sebelum mengeluarkan kenyataan.
“Permohonan BWI tidak pernah ditutup. Malah, kerajaan akan bayar setiap kali mereka ditimpa bencana.
“Kalau dua kali dilanda bencana, dua kalilah kerajaan akan bayar. Itu arahan saya.
“Baik YB (Yang Berhormat) periksa fakta dahulu, jangan terus percaya pada maklumat WhatsApp. Tindakan YB mengelirukan rakyat,” ciap Perdana Menteri membalas dakwaan Hannah.
Terdahulu, Hannah dalam ciapannya berkongsikan tangkap layar WhatsApp mendakwa borang permohonan untuk mendapatkan bantuan kewangan banjir perlu dihantar sebelum pukul 12 tengah hari esok.
Baca artikel berkaitan: PM umum bantuan RM1,000 kepada isi rumah terjejas banjir
“@IsmailSabri60 bagaimana kerajaan boleh umumkan bantuan kewangan banjir RM1,000 tanpa butiran lengkap dan tiba-tiba tutup permohonan esok?
“Esok malam Krismas. Ini nak betul-betul bantu penduduk atau buat kerja bagai melepaskan batuk di tangga?,” soal Hannah.
Ahad lalu, Ismail Sabri mengumumkan kerajaan bersetuju memberi sumbangan sebanyak RM1,000 kepada setiap isi rumah yang terjejas akibat bencana banjir.
Menurut Perdana Menteri, bayaran bantuan ini akan disegerakan bagi meringankan beban mereka yang terkesan dengan bencana ini.
“Biasanya selepas pulang ke rumah baru bayaran dibuat. Kita akan dapat senarai nama dari Pejabat Daerah.
“Namun kita akan segerakan, kita tak nak lama. Bila mangsa balik ke rumah macam-macamlah diperlukan mereka. Banyak kerosakan pastinya dialami mangsa.
“Mungkin tak cukup, tetapi ini bantu terutama aspek barangan keperluan asas,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

