BENCANA banjir yang melanda negara sejak minggu lalu benar-benar meruntun jiwa setiap rakyat Malaysia sama ada terkesan secara langsung atau pun tidak.
Ramai yang kehilangan tempat tinggal dibawa arus deras, malah ada juga nyawa terkorban akibat bencana tersebut.
Namun begitu, di sebalik kesedihan, sikap mulia rakyat Malaysia yang tidak mementingkan diri sanggup meredah banjir menyelamatkan mangsa sememangnya wajar dipuji.
Daripada pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hinggalah kepada ‘Abang Viva Viral’, semuanya sanggup bertungkus-lumus membantu mangsa-mangsa banjir.
Sikap mulia itu mendapat perhatian seorang Youtuber Indonesia, About Sastra yang menyanjung tinggi tindakan semua rakyat Malaysia.
About Sastra malah merasa ‘bingung’ memikirkan tiada langsung sifat mementingkan diri dalam diri rakyat Malaysia walaupun sedang dilanda musibah.
“Nilai yang dimiliki dalam hati kalian, bagaimana anda menghadapi semua ini tanpa ada rasa memikirkan diri sendiri padahal anda juga mengalami musibah sama.
“Itu yang saya rasa tidak masuk akal. Kenapa anda boleh lakukan sedemikian.
“Masih ada niat dan keinginan untuk membantu orang lain. Masya-Allah,” katanya dalam video terbaharunya.
Baca artikel berkaitan: Abang Viva viral kini di Pahang, titip pesan supaya orang berkemampuan bantu mangsa banjir
About Sastra berkata, kebiasaannya seseorang yang berada dalam keadaan yang sukar hanya memikirkan diri sendiri dan keluarga sahaja.
“Tapi kalian tidak seperti itu, kalian fikirkan orang berada di sana yang terperangkap dalam trak dari pukul 8 malam tanpa makan dan minum.
“Kalian fikirkan kucing-kucing, ‘Abang Grab’ yang boleh sahaja mencari rezeki tetapi bertindak menyelamatkan kucing dengan meletakkan dalam begnya.
“Sangat memberi inspirasi, saya rasa ini nilai yang anda miliki mungkin rakyat negara lain tiada.
“Bagaimana anda memupuk rasa itu? Itu yang saya bingung. Tolong beritahu dalam komen supaya saya boleh sebarkan di negara saya,” jelasnya sambil bergenang air mata.
About Sastra turut berkongsi video tular yang memaparkan sepasang pengantin baru sanggup berkongsi lauk kenduri kepada mangsa yang berada di pusat pemindahan sementara (PPS).
Katanya, pengantin itu ‘sepatutnya’ berasa kecewa kerana majlisnya terpaksa dibatalkan, namun sebaliknya mereka gembira hanya disebabkan boleh menolong orang lain.
“Itu luar biasa. Anda mengajar kami sesuatu bagaimana untuk bertindak semasa dalam kesusahan.
“Saya doakan semoga musibah ini segera berlalu dan kalian mampu jauh lebih baik lagi. Semoga tiada lagi korban jiwa, jaga kesihatan,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

