MENTERI Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari mendakwa banjir di Hulu Langat
berpunca daripada kepala air yang turun dari kawasan pergunungan sekitar dan bukannya akibat pembinaan Lebuhraya Lembah Klang Timur (EKVE).
Beliau berkata, berdasarkan maklumat yang diperolehinya, kepala air itu membawa longgokan sampah dan kayu-kayan sehingga sampai ke Batu 14, Sungai Lui dan kawasan berhampiran.
“Saya tidak dimaklumkan mengenai banjir di Hulu Langat disebabkan pembinaan EKVE. Jadi, saya akan merujuk kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebab beliau dikatakan ada menyebut perkara itu (EKVE antara punca banjir di Hulu Langat).
“Daripada taklimat awal, ia memang berpunca daripada kepala air yang jatuh dari kawasan pergunungan sekitar,” katanya hari ini.
Amirudin dalam pada itu berkata, beliau tidak mengetahui maklumat mengenai lebuh raya EKVE, namun bagi kes di Kuala Selangor, terdapat satu projek lebuh raya yang mana tiangnya didapati memotong satu ban di Kampung Asahan.
“Saya sendiri datang (ke Kuala Selangor) dan mendapati projek terbabit sudah memotong satu ban, seterusnya menyebabkan air melimpah ke kampung berkenaan.
“Bagaimanapun, sejak semalam, banyak air berjaya dikeluarkan dan insya-Allah kita akan lihat penyurutan banjir ketara di Kuala Selangor,” katanya.
Semalam, Ismail Sabri memaklumkan, pembinaan EKVE di Hulu Langat, dipercayai antara faktor menyumbang kepada kejadian banjir besar di sekitar Taman Sri Nanding.
Perdana Menteri dilaporkan berkata, pemantauannya di kawasan perumahan itu mendapati projek pembinaan EKVE menyebabkan longkang tertutup, sekali gus mengganggu sistem saliran di kawasan itu.
Sementara itu, Amirudin berkata, kerajaan negeri memerlukan RM369.5 juta bagi melaksanakan projek pembaikan susulan banjir di negeri ini.
Jumlah itu katanya diperlukan bagi membaiki jalan raya, bangunan dan peralatan kemudahan awam.

