SELEBRITI terkenal, Neelofa telah menarik perhatian ramai apabila berkongsi mengenai persediaan sebelum menyambut kelahiran cahaya matanya dengan menjalani sesi fisioterapi.
Menerusi perkongsian yang dimuat naik di Instagram Story itu, pemilik nama Noor Neelofa Mohd Noor ini seakan memberi bayangan mengenai usia kandungannya dan bakal melahirkan anak sulungnya pada bila-bila masa.
“Saya kini dalam perjalanan untuk hadir ke sesi fisioterapi yang dilakukan dua kali seminggu. Sudah hujung-hujung kan (bakal melahirkan). Semoga dapat membantu,” katanya.
URTV difahamkan bahawa wanita hamil digalakkan menjalani senaman fisioterapi bagi membantu mengekalkan postur badan yang baik, memudahkan proses bersalin dan sebagai relaksasi seluruh badan.
Bermula Julai lalu, kisah mengenai ‘baby bump’ Neelofa terus menjadi topik perbualan hangat netizen di media sosial.
Namun, isteri kepada Pencetus Ummah (PU) Haris Ismail ini mengambil tindakan ‘berdiam diri’ dan memberitahu bahawa berita kelahiran cahaya mata lebih baik dihebahkan berbanding kehamilan.
Untuk info, Neelofa dan Haris Ismail melangsungkan pernikahan pada 27 Mac lalu di sebuah hotel terkemuka di ibu kota.

