LPPR sudah panggil Azam, puas hati penjelasan saham milik adik

Dari Penulis

LEMBAGA Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), satu daripada lima badan pemantau bebas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), mendapati mendapati tiada sebarang perlakuan jenayah atau percanggahan kepentingan  melibatkan Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki dalam urus niaga saham pada 2015.

Pengerusi LPPR Tan Sri Abu Zahar Ujang berkata LPPR dalam mesyuarat khas pada 24 November lepas (2021) telah mendapatkan penjelasan Azam dan Ketua Pesuruhjaya SPRM itu menjelaskan bahawa akaun sahamnya digunakan oleh adiknya, Nasir Baki, untuk membeli saham-saham pada tahun 2015.

Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), Tan Sri Abu Zahar Ujang mengadakan sidang media di Putrajaya, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

Abu Zahar berkata pembelian saham-saham berkenaan dibuat di pasaran saham terbuka dan tiada sebarang pencanggahan kepentingan bagi pembelian saham-saham berkenaan pada tahun 2015, dan saham-saham itu juga telah dipindahkan kepada Nasir pada tahun yang sama.

Beliau berkata setelah berbincang dengan panjang lebar, ahli-ahli LPPR berpendapat bahawa  Azam tiada sebarang kepentingan ‘pecuniary’ (kewangan) mahupun benefisial ke atas saham-saham berkenaan.

“Justeru, LPPR berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan dan mendapati tiada sebarang perlakuan jenayah atau ‘conflict of interest’ (percanggahan kepentingan) dalam perkara tersebut,” katanya dalam sidang media khas di Putrajaya hari ini.

Sebelum ini tular di media sosial dakwaan Azam memiliki kepentingan dan pemilikan saham dalam beberapa syarikat.

Azam dalam sidang media berasingan selepas berakhirnya sidang media Abu Zahar berkata dalam penjelasannya kepada panel LPPR memaklumkan bahawa akaun saham beliau telah digunakan oleh adiknya untuk membeli saham-saham di pasaran terbuka dengan pembiayaan sendiri.

Ketua Pesuruhjaya SPRM itu berkata saham-saham yang dibelinya adiknya tiada kaitan dengan siasatan SPRM dan beliau tidak mempunyai kepentingan ke atas saham-saham terlibat.

“Saya ingin menegaskan bahawa dalam isu saham ini, saya tidak melakukan apa-apa kesalahan dan tuduhan terdapat ‘conflict of interest’ (percanggahan kepentingan) di pihak saya seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak adalah tidak berasas,” katanya.

Abu Zahar berkata setelah LPPR berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan oleh Azam, pihaknya  bercadang untuk memaklumkan perkara itu kepada masyarakat pada masa tertentu, namun isu itu telah dibangkitkan terlebih dahulu oleh bekas ahli Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR) SPRM Dr Edmund Terence Gomez.

Gomez dilaporkan meletak jawatan sebagai ahli panel PPPR dan mendakwa jawatankuasa itu gagal membincangkan laporan membabitkan pegawai tinggi SPRM.

Beliau  dalam surat peletakan jawatannya mendakwa timbul persoalan berhubung “hubungan antara perniagaan dan pihak penguat kuasa”, dan situasi “percanggahan kepentingan” membabitkan pegawai tinggi SPRM dan dakwaan pemilikan saham korporat.

Mengenai dakwaan Gomez menghantar surat kepadanya berhubung isu saham Azam, Abu Zahar berkata beliau tidak menerima apa-apa surat sehingga hari ini.

“Saya tidak akan berkompromi dan melindungi sesiapa sekiranya adanya salah laku pegawai SPRM tanpa mengira kedudukan atau jawatan. 

Pendirian saya ialah mempertahankan dan melindungi imej SPRM daripada terjejas dan bukannya melindungi pegawainya yang membuat salah laku,” katanya.

LPPR diwujudkan mengikut Seksyen 13 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694). Ahli LPPR dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong dalam kalangan mereka yang berintegriti dan telah memberikan perkhidmatan awam yang cemerlang atau mencapai keunggulan dalam profesion masing-masing.

Ditanya adakah perlu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan berhubung isu itu, Abu Zahar berkata laporan berhubung isu itu akan diserahkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Buat masa ini tidak perlu RCI, tetapi apa-apa keputusan ianya terpulang kepada Perdana Menteri,” katanya.

— BERNAMA


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Penduduk terjejas hakisan di Kampung Baru Kapit akan dipindahkan ke penempatan baharu

SERAMAI 43 ketua isi rumah yang terjejas akibat hakisan tanah di Kampung Baru, Kapit, bakal dipindahkan ke penempatan baharu...

More Articles Like This