Omicron: Kalau London, London lah kita sekat, tetapi fakta jelas kes tertinggi dari Arab Saudi – KJ

Dari Penulis

UNITED Kingdom (UK) catat 200,000 kes positif COVID-19 sehari, bahkan Amerika Syarikat (AS) catat sejuta kes harian.

Ini semua lonjakan berkali-kali ganda berbanding pertengahan tahun lalu gara-gara varian Omicron.

Justeru ramai di media sosial menyindir Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin kenapa hanya perjalanan mengerjakan umrah ditangguhkan.

Soal mereka, kenapa tidak pula kerajaan menangguhkan perjalanan ke AS atau Eropah seperti yang dilakukan kepada perjalanan menunaikan ibadat umrah.

“Apakah kerana UK jadi pilihan VIP bercuti hujung tahun,” antara persoalan berbaur tuduhan sedap mulut yang dilemparkan kepada Khairy dan Kementerian Kesihatan (KKM).

Pada sidang media hari ini, Khairy sedar pengumuman beliau menangguhkan sementara perjalanan menunaikan umrah terus dipertikaikan sehingga isu itu masih ‘hangat di pasaran’.

“Ada tuduhan mengatakan bahawa ada tindakan pilih kasih,” ungkap Khairy yang terus membentangkan data dan sains supaya rakyat Malaysia faham kenapa Arab Saudi dan bukannya UK, Timbuktu (Mali) atau Hawaii – tiga contoh yang disebut sendiri Khairy.

Menurutnya, statistik kes COVID-19 pada minggu ke-52 tahun 2021 yang dikesan di pintu masuk antarabangsa (PMA) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menunjukkan 85 peratus yang positif adalah pengembara dari Arab Saudi.

Katanya, jumlah itu melibatkan 1,558 individu disusuli pengembara dari Turki iaitu 84 orang, UAE (50 kes) dan UK (47 kes).

“Tak kira varian, yang paling banyak dikesan di PMA KLIA ialah jemaah umrah.

“Kedua, kes Omicron paling banyak dikesan juga adalah dalam kalangan mereka yang pulang dari Arab Saudi iaitu jemaah umrah.

“Ini fakta dia,” kata Khairy yang berbaju batik berwarna ungu hari ini, ditemani Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Katanya, daripada 245 kes Omicron, 64 peratus dikesan daripada jemaah umrah.

Sebab itu, kata beliau, kerajaan mengambil keputusan menangguhkan sementara ibadah umrah.

Tujuannya kata Khairy, bagi memperlahankan jangkitan COVID-19 terutama yang melibatkan varian Omicron.

Beliau juga memberi contoh bagaimana 55 daripada 91 jemaah dalam pakej agensi sama telah dikesan positif sewaktu ujian pra pelepasan di Arab Saudi.

Katanya, ada 36 lagi dalam pakej sama ialah kontak rapat tetapi dibenarkan untuk naik pesawat pulang ke Malaysia.

“Kontak rapat tidak diasingkan. Dan apabila kembali ke Malaysia, 24 daripada 36 ini sah positif COVID-19.

“Dan empat daripadanya presumptive Omicron,” katanya dan sebab itu kerajaan mengambil keputusan tangguh sementara ibadah umrah supaya SOP dapat diperketat.

Selain cerita kluster COVID-19 Omicron dan bukan Omicron akibat kegagalan pematuhan kuarantin dalam kalangan jemaah umrah, ada lebih mengejutkan yang dimaklumkan Khairy dalam sidang akhbar berkenaan.

Menurut Khairy, ada 17 daripada 122 jemaah umrah yang positif varian Omicron atau 14 peratus dikesan tidak pernah menerima sebarang vaksinasi COVID-19.

Katanya, di sini wujud ketidakpatuhan kepada SOP kerana hanya yang divaksin sahaja dibenarkan menunaikan umrah.

“Perkara ini kita akan bincang dengan kementerian berkenaan supaya agensi pelancongan patuhi setiap SOP,” katanya.

Pada sidang media itu, Khairy turut menjelaskan larangan kuarantin di rumah dalam kalangan jemaah umrah diputuskan sebagai langkah berjaga-jaga.

Beliau pada masa sama mempertahankan perbelanjaan kos kuarantin yang ditanggung kerajaan bagi jemaah yang memilih stesen kuarantin kerajaan.

“Ini bukan salah mereka. Perubahan polisi dibuat ketika mereka telah di sana (Tanah Suci).

“Sebab itu kita bagi kemudahan kuarantin di stesen yang disediakan kerajaan,” katanya yang mana mereka juga ada pilihan kuarantin di hotel tetapi dengan tanggungan sendiri.

Katanya, Kabinet semalam juga memutuskan penangguhan sementara kebenaran perjalanan umrah dibuat untuk tempoh sebulan.

“Kita akan buat penilaian risiko dalam tempoh ini supaya insya-Allah, umrah akan kembali dibenarkan selepas ini,” ujarnya.

Baca: Ancaman Omicron: Malaysia tangguh sementara ibadat umrah mulai 8 Januari – Khairy

Penjelasan lanjut elak salah faham umat Islam – Mufti P. Pinang

Di penghujung sidang media itu, Khairy turut membangkitkan soal ujian pra pelepasan di Arab Saudi yang tidak mengesan sebahagian kes positif COVID-19.

Katanya, ini fakta membimbangkan yang perlu diketahui setelah isu ini hangat di pasaran.

“Ujian sebelum berlepas dari Arab Saudi negatif, tiba di Malaysia diuji positif.

“Daripada 1 Disember hingga 4 Januari, ada 1,303 kes yang diuji positif sewaktu tiba di KLIA manakala ada lagi 1,260 orang yang positif ketika ujian pada hari kelima,” tegasnya.

Jadi kata Khairy, ujian pra pelepasan tidak mengesan kes-kes ini dan jika tidak buat apa yang telah dibuat iaitu penangguhan sementara umrah serta kuarantin di pusat, maka gelombang kes baru dan Omicron akan melonjak.

“Kita telah buat simulasi. Jika langkah pencegahan tidak diambil, kes harian boleh melonjak hingga 15,000 dan seterusnya 30,000 jangkitan,” katanya.

Menurut Khairy, sebab itu sistem kesihatan awam yang baru sahaja hendak pulih perlu dilindungi dan dielakkan daripada lumpuh.

Katanya, meskipun kebanyakan kes baharu adalah tahap 1 dan 2, namun kemasukan ke hospital tetap akan meningkat sekali gus kes backlog seperti pembedahan akan terus tertangguh.

“Sekiranya gelombang Omicron terlampau pantas, petugas barisan hadapan mungkin dijangkiti COVID-19. Hopsital di UK ada yang lumpuh apabila petugas positif.

“Memang tiada simptom, tetapi apabila positif tetap kena asingkan.

“Bayangkan pakar bedah perlu diasingkan, doktor, jururawat kena isolasi. Siapa yang akan bertugas,” soal Khairy.

Katanya, Omicron mempunyai enam kali risiko jangkitan dan fakta di sini jelas bahawa majoriti kes varian itu di Malaysia adalah dalam kalangan pengembara dari Arab Saudi.

“Kalau data tunjuk jumlah paling ramai (Omicron) dari London, maka sekatan akan dibuat untuk London. Kalau Timbuktu, Timbuktu lah. Hawaii, Hawaii lah kita akan larang,” ujarnya.

Pada masa sama, katanya, memang benar virus ini ada di sekeliling dan peru hidup dengannya tetapi KKM tetap perlu mengambil langkah bagi memperlahankan gelombang Omicron ini.

“Kalau KKM tidak bertindak atas data tersebut, maka kita tidak akan dapat memperlahankannya,” kata beliau.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Keperluan mempercepat peralihan tenaga di Malaysia

MALAYSIA perlu mempercepat peralihan tenaga kerana negara berdepan risiko krisis bekalan tenaga, ketidaktentuan harga bahan api global, tekanan subsidi...

More Articles Like This