AKIBAT pertikaian menuntut hutang, seorang lelaki cedera di dada terkena senjata milik rakannya dalam kejadian di Seremban kelmarin.

Hari ini, kisah masalah berkaitan hutang berakhir dengan tragedi lebih dahsyat apabila melibatkan korban nyawa.

Kejadian itu bermula dengan mangsa dan seorang rakannya diserang suspek bersenjatakan kayu ketika berada di kolam ikan Kampung Poh, Bidor, Perak 13 September lalu.

Kemudian, rakan mangsa yang merupakan pengadu dalam kes ini memaklumkan suspek yang bersama seorang lagi lelaki melarikan mangsa dengan sebuah kenderaan.

Pengadu yang turut diugut suspek kemudian membuat laporan polis pada 3 Oktober lalu.

Hasil siasatan lanjut, polis menahan seorang seorang lelaki di Hentian Rehat dan Rawat Dengkil, Selangor Selasa lalu.

Suspek berumur 30 tahun itu kemudiannya mendedahkan bahawa mangsa yang berusia 29 tahun telah dibunuh dan mayatnya ditanam di sebuah kebun sawit di kawasan Bidor.

Datuk Mior Faridalatrash Wahid./ Gambar Fail

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, polis menemui mayat itu yang dibungkus dengan kanvas setelah dipandu arah oleh suspek.

Katanya, berdasarkan siasatan, kejadian dipercayai berpunca daripada masalah hutang antara mangsa dengan suspek, yang kedua-duanya bekerja mengambil upah memotong buah kelapa sawit.

Baca: Lelaki cedera di dada.. Susahnya nak tuntut hutang

Hutang RM10,000, wanita dipukul, dikurung along dua hari

“Suspek kini direman empat hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 365 Kanun Keseksaan kerana melarikan orang dengan salah dan Seksyen 302 akta sama kerana membunuh,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Sementara itu Mior Faridalathrash berkata, polis sedang berusaha mengesan seorang lagi suspek bernama M.Anbu bagi membantu siasatan dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenainya diminta menghubungi Asisten Superintendan Noor Irwan Abd Ghani dengan menelefon 0173168097 atau hubungi mana-mana balai polis berhampiran.

Menurutnya, kedua-dua suspek mempunyai rekod jenayah lampau dan narkotik.

“Bedah siasat akan dijalankan ke atas mayat mangsa bagi mengetahui punca kematian,” katanya.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram