JEMAAH umrah yang baru balik dari Arab Saudi sebelum ini perlu memakai alat penjejak digital sepanjang tempoh kuarantin. - Gambar Facebook KP Kesihatan

HASRAT hati ke tanah suci untuk tunaikan umrah dengan harapan mendapat pahala. Namun sanggup menipu untuk ke sana dengan menggunakan sijil vaksinasi palsu sedangkan diri tidak mendapat walau satu pun dos suntikan vaksin Covid-19.

Matlamat ke tanah suci untuk mengabdikan diri kepada Allah dengan cara tidak betul. Bukankah menipu berdosa serta boleh mencatat cela ibadah yang dilakukan? Matlamat sama sekali tidak menghalalkan cara.

Memetik Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, terdapat beberapa kes jangkitan varian Covid-19, Omicron, di kalangan jemaah umrah yang kembali dari tanah suci. Pemeriksaan lanjut mendapati ada di antara jemaah ini lolos ke sana menggunakan sijil vaksinasi palsu.

Malah lebih menyedihkan ada penceramah bebas dengan bangga mengaku dia sendiri adalah anti vaksin dan telah membawa jemaah tidak divaksin mengerjakan umrah. Tidak malu sungguh.

Lebih menakutkan, seorang doktor anti vaksin berusia 51 tahun ditangkap di Marang, Terengganu kerana terlibat dengan penjualan sijil vaksinasi palsu kepada kelompok anti vaksin. Polis merampas 1,900 sijil palsu vaksinasi Covid-19 dari klinik tersebut. Setiap sijil dijual antara RM400 hingga RM500.

Yang pasti doktor itu meraih banyak untung dengan menangguk di air keruh. Tetapi apa manfaatnya kepada mereka yang membeli sijil tersebut? Vaksin adalah untuk perlindungan diri daripada Covid-19. Sijil vaksinasi palsu tidak dapat membantu.

Kenapa harus menjadi bodoh membayar sehingga ratusan ringgit untuk vaksinasi palsu sedangkan kerajaan menyediakan vaksinasi tulen, daripada dos petama hingga dos penggalak dengan percuma?

Tidak mustahil selain kes doktor di Marang ini, ada lagi pengamal perubatan yang menjalankan aktiviti haram ini tetapi belum dapat dikesan oleh pihak berkuasa. Namun sepandai-pandai tupai melompat akan jatuh juga ke tanah.

Doktor seperti inilah yang memburukkan profesion kedoktoran yang murni. Kerana sikap tamak sanggup melanggar undang-undang. Tindakan tegas mesti diambil kerana perbuatan mereka adalah satu pengkhianatan kepada negara.

Mungkin ada antara jemaah umrah yang menipu ini adalah ‘lulusan’ daripada klinik doktor yang ditangkap oleh polis Marang. Segalanya serba mungkin. Polis juga perlu membawa mereka ini ke muka pengadilan sebagai pengajaran.

Bimbang dengan jangkitan Omicron yang dibawa pulang oleh jemaah, dan bagi mengelakkan ia menular mendadak di negara ini, kerajaan memutuskan menangguh kebenaran menunaikan umrah mulai 8 Januari 2022 sehingga diberitahu kelak.

Mereka yang kembali kembali ke tanah air selepas melakukan umrah sebelum daripada tarikh itu dikehendaki menjalanai kuarantin di stesen kuarantin ditetapkan. Tidak boleh menjalani kuarantin di rumah.

Penangguhan umrah tidak disenangi oleh ramai bakal jemaah dan agensi umrah kerana dianggap menyusah dan merugikan. Namun mereka tidak pula marah kepada jemaah dan pembimbing umrah yang tidak divaksin keran telah menipu. Kelakuan buruk mereka ini sebenarnya faktor yang turut memusnahkan impian yang lain untuk ke tanah suci.

BERITA BERKAITAN Jemaah umrah tipu sijil vaksin perlu bertaubat – kerana mereka, sijil vaksin Malaysia mungkin tidak akan dipercayai – Mufti

Kerana itu penagguhan umrah sangat wajar demi mengelak mudarat kepada bakal jemaah lain dan mengekang penularan Omicron sambil membanteras percubaan menipu sijil vaksinasi berterusan. Justeru tidak perlu marah-marah atau tersentap dengan tindakan kerajaan.

Kes Omicron di kalangan jemaah umrah mula dikesan melibatkan pasangan suami isteri dari Johor yang pulang melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 16 Disember 2021.

Pada 26 Disember, seorang jemaah dari Melaka pula disahkan positif varian tersebut. Pada 27 Disember dua jemaah dari Pulau Pinang pula didapat posittif. Seorang jemaah dari Perak juga disahkan positif pada 28 Disember. Sebanyak 14 peratus daripada kes Omicron membabitkan jemaah umrah tidak divaksin.

Memetik Kementerian Kesihatan, bermula 25 November 2021 sehingga Januari 2022, terdapat 16 kluster melibatkan jemaah umrah yang pulang dari Arab Saudi. Daripada jumlah tersebut, tujuh kluster melibatkan kes indeks disahkan varian Omicron.

Selain itu enam kluster melibatkan kes indeks Presumptive Omicron atau diandaikan dijangkiti dan sedang menunggu keputusan, serta tiga kluster melibatkan kes indeks positif Covid-19 bukan varian Omicron.

Angka ini adalah amaran untuk Malaysia mengambil langkah perlindungan. Memandangkan kes Omicron yang tinggi di Arab Saudi, dan dengan kehadiran jutaan manusia menunaikan umrah, memang menasabah ditangguh penghantaran jemaah Malaysia.

Penangguhan ini juga waktu terbaik untuk kerajaan memantau perkembangan Covid-19 melibatkan varian Omicron bukan sahaja di Arab Saudi tetapi juga negara-negara lain. Hasil kajian ini boleh dijadikan garis panduan untuk menentukan waktu sesuai membenarkan ibadah umrah disambung semula.

Episod jemaah umrah dan pembimbing yang tidak divaksin bolos ke tanah suci wajar menjadi peringatan dan pengajaran agar pihak berkuasa khususnya dan agensi umrah tidak lalai menapis mereka yang hendak ke tanah suci. Agensi umrah mesti jujur tidak membawa jemaah yang dikenal pasti tidak divaksin.

Mereka yang jelas menipu dan melanggar prosedur kerajaan mesti diambil tindakan keras tanpa belas kasihan. Semua perlu ingat sebelum kena. Jika sudah enggan divaksin kenapa perlu sibuk hendak pergi menunaikan umrah?

* Penulis memulakan kerjaya kewartawanan di Berita Harian pada 1979 sebelum menyertai Utusan Melayu pada 1980. Beliau kemudian melanjutkan pengajian kewartawanan sehingga peringkat sarjana di Boston University, Amerika Syarikat. Jawatan terakhir Penolong Ketua Pengarang Utusan


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!

Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram