SELEPAS diura-ura menerima tawaran lumayan dari sektor swasta dan dikatakan akan meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), akhirnya berita mengenai Lee Zii Jia itu adalah benar.
Presiden BAM Tan Sri Mohamad Norza Zakaria mengesahkan pemain perseorangan badminton utama negara itu telah menghantar surat peletakan jawatan sebagai pemain BAM pada 11 Januari lalu.
“Dia tidak dapat menerima tekanan dan dia mahu mencapai impiannya sendiri mengikut rentaknya sendiri,” kata Norza.
Beliau berkata susulan itu, pihaknya mengadakan beberapa siri perbincangan dengan pemain berkenaan dan keluarganya bagi memujuk untuk dia kekal bersama skuad kebangsaan apatah lagi selepas sudah bersama BAM sejak usianya 13 tahun.
Katanya, BAM sudah semestinya mahu membawa Zii Jia ke peringkat lebih tinggi bagi membolehkan dia menjadi seperti bekas jaguh perseorangan lelaki negara, Datuk Lee Chong Wei.
Berita mengenai Lee Zii Jia meninggalkan BAM menjadi trending di media sosial negara ini, termasuk dalam kalangan peminat badminton dari Indonesia.
Kebanyakan mereka menganggap berita itu sebagai mengejutkan, bagaimanapun mendoakan agar pemain dari Kedah tersebut berjaya mencapai cita-citanya untuk menjadi pemain nombor satu dunia.
BERITA BERKAITAN Kejohanan Dunia: Lee Zii Jia tepati ramalan ke pusingan kedua
Semalam, pemain badminton itu, ketika ditemui pemberita di Akademi Badminton Malaysia, tidak mendedahkan butiran masa depannya dengan badan kebangsaan itu, namun berkata, “jika saya seorang pemberontak, anda tidak akan melihat saya dalam pusat latihan ini.”

Ketika itu, katanya, sebarang pengumuman berhubung masa depannya dengan badan berkenaan akan dibuat oleh BAM sendiri.
“Tugas saya hanya untuk berlatih, perform, menghasilkan keputusan yang baik dan membanggakan negara saya. Saya tidak ada komen mengenai khabar angin itu,” katanya apabila diminta menjawab isu khabar angin meninggalkan BAM.
Pemain perseorangan utama negara itu, kini berada pada kedudukan ketujuh dunia, dalam rangking Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Pemain berasal dari Kedah berusia 23 tahun itu, menjadi pemain perseorangan lelaki ketiga Malaysia memenangi gelaran juara All England selepas menewaskan pemain Denmark, Viktor Axelsen, pada perlawanan akhir, Mac tahun lalu.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

