PELAKON Azhan Rani yang terbabit dalam kemalangan motosikal pada Isnin lalu, melahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada semua individu yang membantunya ketika insiden berlaku.

Azhan,45, turut menzahirkan penghargaan kepada rakan artis iaitu Beto Kusyairy dan isteri, Tisha Shahar yang banyak membantu selepas kejadian tersebut.

“Doktor kata tulang scapula (belikat) saya pecah tapi dua insan hebat ini jadi tulang belakang saya untuk terus berdiri.

“Dulu dan kini, harta paling lumayan anugerah Iahi buat saya. Terima kasih sahabat, Beto dan Tisha juga rakan-rakan lain yang tak henti-henti bertanyakan khabar. Moga syurga menunggu kalian di sana nanti. Alhamdullilah,” tulisnya di Instagram.

Sementara itu, menerusi muat naik di entri lain, pelakon drama popular Nur itu turut tidak melupakan jasa orang awam yang membantu ketika berlakunya kejadian kemalangan terbabit.

ARTIKEL BERKAITAN : Azhan Rani kemalangan motosikal

“Kepada Muhammad Firdaus dan sesiapa sahaja yang membantu saya pada hari kejadian sekitar jam 12.30 tengah hari di Jalan Templer Park menghala Kuala Lumpur, semoga Allah merahmati kalian.

“Buat dua pemandu lori, terima kasih kerana yang berjaya menghentikan lori dan tidak melanggar saya,” tulis Azhan lagi.

Sementara itu, Azhan turut menitipkan pesanan kepada dua orang remaja penunggang motosikal yang menjadi punca berlakunya kemalangan.

“Buat dua adik yang naik motor kapcai tengah bersembang tak pandang depan dan masuk lane (lorong) saya secara tiba-tiba masa saya nak buat pusingan U (U-turn) , semoga kamu berdua tidak apa-apa. Maaf, saya naikkan suara ketika dalam ambulans hari itu.

“Mohon jangan bawa motor macam (merbahaya) itu lagi. Kita sama-sama syukur Allah SWT bagi kita peluang untuk hidup lagi. Maaf juga buat motor awak hancur,” ujarnya.

Tambah Azhan, dia turut akan menjalani pembedahan untuk memasukan ‘plate’ di bahagian belikat yang pecah pada hari esok.

“Insya-Allah, tengahari esok saya akan masuk dewan bedah dan doktor kata akan ambil masa antara tiga ke empat jam.

“Kalau tanya saya, memang cuaklah tapi rakan serumah yang merupakan pakar ortopedik beritahu proses bersunat lagi menakutkan dari pembedahan ini.

“Mohon maaf pada semua atas salah silap selama ini. Terima kasih atas keprihatinan dan kasih sayang semua pada saya,” luahnya.

Dalam kemalangan pada Isnin lalu di Jalan Templer, Rawang, Selangor, Azhan mengalami pecah tulang belikat kiri, retak tulang bahu dan tiga tulang rusuk, selain kecederaan kecil.

Ketika kejadian, Azhan dalam perjalanan ke lokasi penggambaran dengan menunggang motosikal berkuasa tinggi bertembung dengan sebuah motosikal dinaiki dua lelaki.