Hasni Mohammad pada sidang media di Bangunan UMNO Johor hari ini./ Gambar BERNAMA

“KITA tidak mahu terus menjadi kerajaan dengan ihsan pembangkang,” kata Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad.

Menurut Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor itu, perkara itu tidak seharusnya berlaku apatah lagi bagi sebuah negeri seperti Johor.

“Dengan majoriti satu kerusi, tiada siapa boleh pertikaikan yang kerajaan negeri Johor berada dalam keadaan amat tidak stabil.

“Johor tidak sepatutnya berada dalam kedudukan sedemikian kalau ingin terus merancang dan melaksanakan program untuk kepentingan rakyat dan negeri Johor,” katanya pada sidang media di Bangunan UMNO Johor di Johor Bahru hari ini.

Sehubungan itu, katanya, beliau memerlukan mandat baru daripada rakyat Johor dan ini membawa kepada permohonan pembubaran DUN yang telah diperkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Ditanya berhubung komitmen politik pembangkang sebelum ini untuk memastikan kestabilan Johor – bagi mengelakkan PRN, Hasni berkata, ‘itu hanya janji manis’.

Apabila ditanya wartawan apa maksud tidak mahu menjadi kerajaan dengan ihsan pembangkang, Hasni menjelaskan perkara itu memang berlaku.

Baca: Sah Johor bakal adakan PRN, Sultan Ibrahim perkenan bubar DUN

UMNO Johor adakan mesyuarat khas, pergerakan Hasni jadi tumpuan

“Ketika DUN bersidang baru-baru ini pun kita berdepan rundingan untuk wakil pembangkang hadir Mesyuarat Tindakan Daerah.

“Berulang kali saya terang, ini arahan No 1 JPM berhubung komposisi wakil Mesyuarat Tindakan Daerah tetapi mereka meneruskan juga rundingan.

“Akhirnya keputusan pada kedudukan 27-27. Speaker walau bukan dari pihak kerajaan, mungkin atas ihsan bagi memastikan kerajaan ini berjalan maka undi penentunya diberi kepada pihak kerajaan.

“Ini yang saya maksudkan (ihsan pembangkang),” jelasnya yang kini memimpin kerajaan caretaker.

Sementara itu, mengenai peluang Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, Hasni cukup yakin.

“Amat baik sekali,” jelasnya sambil memberikan senyum ke arah wartawan.

Ditanya bila tarikh sesuai PRN diadakan, Hasni berkata, perkara itu terpulang kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Yang pasti katanya, PRN perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran DUN seperti mana peruntukan undang-undang.

Mengenai kedudukannya sama ada akan bertanding lagi pada PRN akan datang, Hasni yang merupakan ADUN Benut berkata:

“Insya-Allah. Kalau Presiden benarkan, saya akan bertanding lagi,” disambut ketawa kecil beberapa pemimpin di belakangnya.

Sebelum dibubarkan, kerajaan negeri diterajui Barisan Nasional dengan 28 kerusi merangkumi UMNO (14 kerusi); MIC (dua); Bersatu (11); dan PAS (satu).

Pakatan Harapan (PH) pula mempunyai 27 kerusi iaitu DAP (14); PKR (tujuh); dan Amanah (enam).

Sejak beberapa minggu lalu, berlegar spekulasi mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Ini terutama selepas kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas Datuk Osman Sapian bulan lepas menjadikan kerajaan pimpinan UMNO dan gabungannya hanya memiliki majoriti satu kerusi dalam DUN Johor.

Terdahulu pada jam 2 petang, Hasni mempengerusikan Mesyuarat Khas Badan Perhubungan UMNO Johor di Johor Bahru.

Mesyuarat itu dihadiri kesemua 26 ketua bahagian termasuk Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Ketika ditemui pemberita kemudiannya, Hasni secara ringkas memaklumkan UMNO Johor bersetuju PRN Johor diadakan.

Beliau kemudiannya mempengerusikan Mesyuarat Exco buat kali terakhir sebelum menghadap Sultan Ibrahim di Istana Bukit Serene pada jam 5 petang.

Kemudian, satu hantaran di Facebook Sultan Ibrahim menamatkan segala spekulasi sejak berminggu lalu apabila sah baginda memperkenan pembubaran DUN Johor.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram