KEBAKARAN yang berlaku dalam bangunan Kedutaan Malaysia di Seoul, Korea Selatan pada Jumaat hanya menyebabkan kerosakan kecil pada satu daripada bilik di tingkat dua bangunan berkenaan.
Kuasa usaha kedutaan Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi ketika dihubungi Bernama dari Kuala Lumpur memaklumkan perkhidmatan konsular akan disambung seperti biasa pada Isnin (31 Jan), memandangkan kebakaran tidak melibatkan bahagian berkenaan.
“Hanya sebahagian dinding pada bilik berkenaan beserta langsir yang terbakar dan sebahagian perabot rosak. Hujung minggu ini kami dibenarkan masuk semula ke kedutaan untuk menjalankan kerja-kerja pembersihan.
“Cuma hari ini sahaja kedutaan ditutup sebab pihak bomba nasihatkan jangan masuk bangunan itu kerana bimbang ada asap atau gas beracun, jadi kami buka semua tingkap untuk melancarkan pengudaraan dalam bangunan,” katanya.
Menceritakan semula kejadian yang berlaku pada pukul 9.30 pagi itu, Ahmad Fahmi berkata ia bermula pada satu daripada unit pemanas udara berpusat (central heater) akibat litar pintas.
Kebakaran mula disedari oleh seorang pegawai kedutaan yang ketika itu baru sahaja memulakan tugas di bilik bersebelahan apabila peralatan elektriknya tiba-tiba terpadam (shut down) dan beliau terhidu bau asap.
Baca: Kuasa Usaha Sudan dipanggil kali kedua, rakyat Malaysia di Khartoum selamat
“Bila tengok bilik sebelah, dia nampak api daripada pemanas udara itu sudah mula merebak ke langsir. Unit pemanas itu terletak di bahagian bawah dinding,” katanya sambil menambah ketika itu terdapat hampir 20 orang dalam bangunan kedutaan.
Ahmad Fahmi berkata pada mulanya mereka cuba memadamkan kebakaran menggunakan alat pemadam api tetapi tidak berjaya.
“Kebakaran elektrik agak sukar dipadamkan dan apabila asap sudah mula tebal dan menyukarkan pernafasan, kami semua terus keluar,” katanya.
Pasukan bomba tiba kira-kira lima minit selepas itu dan api berjaya dipadamkan dalam tempoh kira-kira 17 minit, katanya sambal meluahkan kesyukuran tiada dalam kalangan mereka yang tercedera dalam kejadian itu.
— BERNAMA
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

