BADAN Koordinasi TVET Kerajaan-Industri (GITC) akan terlibat secara langsung dalam pembangunan modal insan Pendidikan Teknikal Dan Latihan Vokasional (TVET) negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, hal itu selepas Mesyuarat Majlis TVET Negara (MTVET) memperakukan penubuhan badan tersebut hari ini.
Katanya, keanggotaan GITC terdiri daripada 12 persatuan berdasarkan sektor industri yang bersetuju untuk berganding bahu menjayakan agenda TVET negara.
“Mesyuarat juga telah bersetuju dengan pelaksanaan TVET Collaboration Hub, melibatkan 11 kementerian dan diselaraskan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).
“Inisiatif ini bakal menjadi platform kolaborasi strategik kepakaran, peralatan dan teknologi antara pusat kecemerlangan dengan institusi-institusi TVET, pihak berkuasa wilayah ekonomi dan industri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Baca artikel berkaitan: Kerajaan sedia RM19.2 juta bantu PSK tahun ini – PM
Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, sejumlah 12 hab telah dikenal yang akan dilaksanakan di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Katanya, mesyuarat juga bersetuju secara dasar dengan cadangan penarafan tunggal
TVET tetapi proses libat urus bersama kementerian serta industri perlu dilaksanakan sebelum dibentangkan semula dalam mesyuarat MTVET yang akan datang.
“Inisiatif ini dijangka akan memperkukuh simbiosis ekosistem TVET dalam menghubungkan pihak-pihak yang terlibat untuk merapatkan jurang di antara permintaan dan penawaran tenaga kerja.
“Usaha-usaha yang dilaksanakan MTVET amat signifikan bagi merealisasikan strategi dan inisiatif yang dirangka di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12),” ujarnya.
Tambah beliau, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM6.6 bilion untuk memperkasa TVET melalui kementerian-kementerian dan agensi-agensi berkaitan di bawah Bajet 2022.
Katanya, TVET boleh menjadi pilihan utama belia dalam mempersiapkan diri untuk masa hadapan memandangkan bidang ini terbukti mampu melahirkan individu berkemahiran, terlatih dan berbudaya usahawan.
“Menyedari kepentingan TVET, mesyuarat bersetuju agar kempen, promosi dan penjenamaan semula dilakukan secara komprehensif bagi menghapuskan persepsi yang mengatakan TVET adalah pendidikan kelas kedua dan sudah tidak relevan lagi.
“Kita mengharapkan TVET dijadikan pilihan setara dengan akademik sekaligus menjadikannya sebagai kerjaya pilihan sepertimana negara maju yang lain,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

