Alahai JPJ! Bekas pelajar kemalangan, institut memandu pula yang salah!

Dari Penulis

JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) bercadang menggantung atau membatalkan permit institut memandu (IM), jika mendapati ramai lulusan institut tersebut terlibat dalam kemalangan dan tidak mematuhi undang-undang jalan raya.

Memetik Ketua Pengarah JPJ, Datuk Zailani Hashim, tindakan akan dilakukan melalui kaedah meletakkan kod lesen memandu pengguna jalan raya bagi memudahkan pihak berkuasa mengesan di mana pemandu itu belajar memandu dahulu.

Antara tindakan yang boleh diambil ialah membatalkan permit institut memandu tersebut dan menarik balik sijil tenaga pengajarnya.

Terasa aneh dan seperti kelakar kenyataan Zailani ini. Mujur beliau tidak menyebut jika terlalu banyak kemalangan kereta atau motosikal, penjualan dua jenis kenderaan tersebut dikurang atau dihenti. Kenalah orang ramai naik basikal atau berjalan kaki. Jika berbasikal atau berjalan kaki pun banyak kemalangan, apa pula pilihan?

Kenapa JPJ harus membuat kenyataan kontroversi seperti ini? Kenapa harus institut memandu disalahkan dan diambil tindakan jika ramai yang pernah belajar di situ terlibat dalam kemalangan atau melanggar undang-undang jalan raya?

Kenyataan ini hanya mengundang reaksi tidak menyenangkan daripada institut memandu. Bagi mereka sangat tidak wajar dan tidak logik institut disalahkan jika berlaku kemalangan atau pelanggaran undang-undang jalan raya melibatkan bekas pelajar institut berkenaan.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong dalam reaksinya menyifatkan cadangan itu adalah pandangan peribadi Ketua Pengarah JPJ, bukan dasar kerajaan. Menurutnya, sebarang hala tuju dasar atau cadangan tambah baik akan dikaji secara menyeluruh dan saintifik terlebih dahulu.

Tentu mudah difahami kenapa institut memandu tidak senang dengan cadangan JPJ itu. Tugas hakiki mereka ialah menyediakan pelajar dengan pengetahuan dan kemahiran memandu serta selok belok keselamatan jalan raya, menggunakan modul dan kaedah ditetapkan oleh JPJ.

Pelajar kemudian akan melalui ujian akhir yang dikendalikan oleh pihak JPJ sendiri. Ertinya pada peringkat akhir JPJ yang menentukan samaada pelajar layak berada di atas jalan raya atau tidak. Tugas institusi memandu berakhir apabila pelajar lulus.

Justeru jika berlaku kemalangan atau pelanggaran undang-undang jalan raya melibatkan bekas pelajar institut berkenaan, itu bukan lagi dalam kawalan institut berkenaan, sebaliknya mungkin kecuaian pemandu sendiri. Kenapa institut memandu yang harus dipersalah?

Seperti juga belajar di sekolah. Jika didapati ramai pelajar gagal dalam peperiksaan seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) misalnya, haruskah tindakan diambil terhadap sekolah, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) atau Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM)?

BERITA BERKAITAN Permit institut memandu boleh dibatalkan jika ramai pemegang lesen terlibat kemalangan – JPJ

Atau jika pelajar lulus cemerlang dan menyandang jawatan tinggi dengan gaji lumayan tetapi kemudian terlibat dengan salah laku, penyelewengan atau rasuah, adakah sekolah atau kolej dan universiti di mana pelajar itu menimba ilmu hendak digantung?

Guru telah memberi pendidikan secukupnya berdasar kurikulum. Pelajarlah yang akan menentukan hala tuju dan nasib sendiri. Begitu juga dengan institut memandu. Prestasi pelajar bukan lagi tanggung jawab institut memandu selepas lulus ujian dan memperoleh lesen.

Dahulu pun JPJ pernah membuat kenyataan kontroversi apabila mantan ketua pengarahnya, Datuk Seri Ismail Ahmad berkata, jabatan itu akan memastikan kadar kematian di jalan raya menurun kepada separuh dalam tempuh setahun.

Ketika itu JPJ meramalkan angka kematian kemalangan pada 2020 ialah 10,716 orang. JPJ mensasarkan mahu angka ini menurun sebanyak 50 peratus. Ketika itu Ismail dilaporkan berkata, KPI mereka ialah “Nak orang mati 5,358 sahaja”.

Beliau sebenarnya cuba menyampaikan mesej bahawa JPJ berusaha mengurangkan kemalangan jalan raya sehingga separuh. Namun cara penyampaian tidak tepat dan mengelirukan.

Kenyataan beliau seolah-olah bermakna JPJ mahu orang tetap mati di jalan raya, cuma jumlah berkurangan. Malah tentunya lebih baik jika tidak ada kemalangan dan kematian langsung.

JPJ boleh berusaha dan diakui sentiasa berusaha menyemai kesedaran di kalangan pengguna jalan raya agar berhati-hati dan sentiasa mematuhi peraturan untuk mengurangkan kadar kemalangan dan kematian. Sebaik-baiknya ialah ke tahap paling minimum.

Ini semua merupakan usaha dan ikhtiar. Tetapi untuk menetapkan kadar kematian kepada angka tertentu, itu di luar kemampuan JPJ, dan di luar kemampuan siapa sahaja.

Mana mungkin dibuat unjuran tertentu kerana hidup mati hanya Allah Yang Maha Tahu. Angka kematian boleh menurun tetapi boleh juga bertambah.

Apa yang boleh dilakukan oleh JPJ ialah memantau institut memandu dan memastikan hanya tenaga pengajar yang terlatih dan berpengalaman dibenarkan mengajar. Selain itu mesti memenuhi kurikulum ditetapkan.

Oleh kerana semua pelajar institut memandu perlu menjalani ujian setelah habis belajar dan ujian ini dikendali dan diawasai oleh JPJ sendiri, bererti JPJ adalah benteng terakhir yang memberi memberi lampu hijau kepada pelajar berada di jalan raya setelah lulus ujian.

Pada peringkat ini institut tidak harus lagi dilibatkan dengan kesalahan bekas pelajar. Mahukah pihak JPJ sendiri dipersalah kerana meluluskan pelajar yang kemudian terlibat dalam kemalangan atau pelanggaran undang-undang jalan raya?

* Penulis memulakan kerjaya kewartawanan di Berita Harian pada 1979 sebelum menyertai Utusan Melayu pada 1980. Beliau kemudian melanjutkan pengajian kewartawanan sehingga peringkat sarjana di Boston University, Amerika Syarikat. Jawatan terakhir Penolong Ketua Pengarang Utusan


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!

Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

‘Selamat malam Rohingya’, ini masanya untuk Malaysia bertindak

KITA bukan hendak membenci mereka, tetapi ada banyak laporan buruk mengenai kelibat mereka di tanah air kita yang tercinta...

More Articles Like This