MENTERI Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin mengesahkan bekas Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh ke Malaysia Mohammed Khairuzzaman kini ditahan pihak berkuasa negara ini.
Tanpa mendedahkan Mohammed Khairuzzaman ditahan atas kesalahan apa, beliau hari ini berkata penahanan itu dilakukan mengikut prosedur perundangan sedia ada, lapor Bernama.
“Segala apa berlaku adalah mengikut perundangan, kalau ada kesalahan kita akan tangkap.
“Jika ada permintaan dari negara asal yang kita rasa kebenarannya, kita akan lakukan (tangkapan) dan segala dilakukan mengikut prosedur,” katanya.
Hamzah diminta mengulas penahanan Mohammed Khairuzzaman yang dilaporkan media antarabangsa hari ini dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Pengurusan Warga Asing Di Sabah (JKPWAS-INDUK) Bilangan 1 Tahun 2022 bersama Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor di Putrajaya hari ini.
Menurut laporan media, Mohammed Khairuzzaman yang dilaporkan tinggal di Malaysia sebagai pelarian ditahan di rumahnya di Ampang semalam dan dijangka dihantar ke Bangladesh.
BERITA BERKAITAN Malaysia sumbang vaksin Astrazeneca kepada Bangladesh, Laos
Memetik laporan media luar, Mohamed Khairuzzaman, seorang pesara tentera berpangkat mejar pernah dituduh terlibat dalam kes pembunuhan di penjara pada 1975 dan kemudiannya dibebaskan setelah dilantik sebagai pesuruhjaya tinggi ke Malaysia pada 2007 oleh kerajaan sementara ketika itu.
Setelah kerajaan Liga Awami dibentuk pada 2009, Mohammed dipanggil pulang ke Dhaka.
Dengan mengambil kira risiko jika kembali ke Bangladesh, Khairuzzaman memperoleh kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) di Kuala Lumpur dan terus tinggal di sini. – Bernama
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

