SEMUA ketua polis daerah di Perak telah diarahkan supaya bertindak tegas ke atas jenayah perjudian, pelacuran serta segala kegiatan haram lain.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, dalam hal ini pihaknya tidak pernah ‘pejam mata’ terhadap jenayah berkenaan seperti didakwa dalam satu akaun Twitter.
Katanya, dakwaan pemilik akaun Twitter Edisi Khas itu, yang turut mengatakan ramai polis mengambil kesempatan atas kegiatan tersebut dengan menerima rasuah, adalah tidak benar dan merupakan fitnah kepada anggota dan pegawainya.
“Dia patut tampil untuk memberi maklumat supaya kita boleh bertindak. Jangan baling batu sembunyi tangan. Kalau betul, kita ada pihak tertentu yang akan buat siasatan.
“Kalau dia takut hendak memberi maklumat, gunalah saluran yang betul, ada akta yang boleh melindungi dia tanpa orang mengetahui identiti pelapor. Sesiapa yang ada maklumat berkenaan kegiatan haram di negeri Perak boleh tampil berikan maklumat,” katanya pada sidang media di Ipoh hari ini.
Baca: Polis bongkar sindiket judi, scam beroperasi dari banglo di Jalan U-Thant
Dakwaan salah laku OCPD Manjung, Polis Perak sedia minta Bukit Aman siasat
Tegas beliau, pihaknya tidak akan berkompromi dengan kes perjudian dan pelacuran di negeri ini dengan serbuan ke atas pusat hiburan juga diadakan secara berkala.
Menurut Mior Faridalathrash, pihaknya turut meminta pihak berkuasa tempatan di kawasan terlibat untuk membatalkan lesen premis pusat hiburan yang menggajikan warga asing sebagai pelayan pelanggan (GRO).
Semalam, pemilik akaun Twitter itu memuat naik ciapan mendakwa beberapa daerah di Perak iaitu Manjung, Batu Gajah, Ipoh dan Teluk Intan, sudah dibanjiri dengan kedai judi dalam talian dan pelacuran, namun tiada tindakan diambil oleh pihak polis.
Ciapan itu turut mendakwa pihak polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menerima rasuah daripada sindiket terbabit.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

