Kerosakan yang dialami rumah Nosimah Alus dalam kejadian ribut kelmarin.

TUJUH sekeluarga tidak dapat melupakan detik cemas mereka terpaksa berpelukan selama 15 minit selepas ribut menerbangkan bumbung rumah dalam kejadian petang kelmarin di Kampung Belimbing Dalam, Melaka.

Nosimah Alus, 48, (gambar kecil) yang merupakan seorang ibu tunggal berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 petang itu, dia berada di dalam biliknya sebelum terdengar ahli keluarga yang lain tiba-tiba menjerit.

“Anak-anak, anak saudara ketika itu berada dekat ruang tamu bersama abang dan emak saya berusia 85 tahun. Tiba-tiba mereka menjerit, lalu saya meluru keluar bilik dan terlihat bumbung bahagian dapur sudah diterbangkan angin,” katanya ketika dihubungi UtusanTV.

Ujarnya, mereka terus berlindung dekat pintu rumah, tetapi kemudian bertindak beralih dari situ selepas air hujan mula menitik menimpa kepala mereka.

“Risau bumbung akan runtuh kami sekeluarga bertindak berteduh di kawasan letak motosikal dekat anjung rumah,” tambahnya.

Baca artikel berkaitan: Anak Kedah berjaya lakukan pendaratan ‘sempurna’ di Heathrow ketika ribut Eunice

Kata Nosimah, ketika berada di situ mereka sekeluarga berpelukan selama 15 minit kerana ketakutan.

“Angin kuat sangat, petir sambar menyambar. Kami hanya nampak langit putih sahaja ketika itu,” ceritanya.

Ketika detik cemas itu juga, anak-anaknya, Indah raudatul Hannah, 10, dan Muhammad haraz rizqi, 2, turut menangis ketakutan.

Tambah Nosimah, abangnya Rahmat Alus, 51, turut sempat melaungkan azan pada bahagian ruang tamu rumah ketika ribut itu berlaku.

“Habis bumbung rumah diterbangkan angin kencang sejauh 100 meter sampai ke rumah jiran,” katanya.

Selepas ribut reda, dia bersyukur kerana semuanya selamat tanpa sebarang kecederaan.

“Alhamdulilah kami semua okay, tidak mengalami apa-apa kecederaan tapi rumah saya 90 peratus sudah rosak, harta benda sudah musnah,” luahnya.

Nosimah berkata, ketika ini mereka sekeluarga terpaksa menetap di pusat pemindahan sementara selepas rumah dipenuhi air dan bekalan elektrik terputus.

Selain Kampung Belimbing Dalam, kawasan yang turut terjejas akibat hujan lebat dan ribut adalah di Krubong, Tanah Merah, Lanjut Manis dan Kampung Ladang.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram