NASIHAT yang baik ada kalanya cukup berkesan dengan pantun yang sudah menjadi tradisi orang Melayu sejak zaman berzaman untuk menegur atau memberi pandangan.
Tidak terkecuali menggunakan pantun untuk menyampaikan titah nasihat ialah, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Pantun juga sudah menjadi tradisi buat Seri Paduka sebelum mengakhiri titah Istiadat Pembukaan Penggal Parlimen yang ditujukan kepada 220 Yang Berhormat seperti mana dilakukan September tahun lalu.
Kali ini, ia berkait dengan seruan Al-Sultan Abdullah kepada Ahli-ahli Parlimen supaya terus menjalankan tugas sebaik mungkin untuk kepentingan rakyat dan negara.
Dan di sebalik ayat indah dan berseni dalam pantun dua rangkap itu, ada baris kata yang digunakan terus menusuk sebagai teguran – “Cukuplah berpolitik siang dan malam”.
Mengakhiri pantun itu semasa merasmikan Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-14 hari ini, Yang di-Pertuan Agong menekankan kepada semua agar fokus menjaga rakyat.
“Gunung Kinabalu sama didaki,
Sungai Pahang sama direnang,
Jikalau semua bersatu hati,
Kerja yang susah menjadi senang.
“Busana tradisi kain bersulam,
Warnanya jingga berawan larat,
Cukuplah berpolitik siang dan malam,
Fokuskan menjaga kepentingan rakyat,” titah Seri Paduka.
Baca: Berbaktilah untuk rakyat, pantun nasihat Agong kepada YB-YB
PRN Johor: Purata 4.2 calon di setiap kerusi, rakyat letih tapi orang politik tidak

Pada September lalu, Seri Paduka turut menggunakan pantun bagi menyampaikan titah nasihat dan teguran kepada Ahli-ahli Parlimen.
Ini bertepatan dengan keluh-kesah rakyat terhadap senario politik tidak menentu ketika itu, ditambah situasi negara yang masih bergelut dengan ancaman COVID-19.
Menerusi tiga rangkap pantun itu, Seri Paduka menyentuh harapan semua kepada Yang Berhormat.
Berikut pantun Seri Paduka pada perasmian Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-14, 13 September tahun lalu.
Dari Segamat ke Kota Tinggi;
Hajat mulanya ke Kuala Pahang;
Kepada Yang Berhormat ikhlaslah berbakti;
Tidaklah rakyat gusar dan bimbang.
Kalau memandang langit yang tinggi;
Jangan lupa rumput di bawah;
Bekerjalah Yang Berhormat sepenuh hati;
Martabatkan negara kembali bermaruah.
Rempah halia digaul diuli;
Buat ramuan nasi kebuli;
Sumpah setia ketaatan diberi;
Pertahankan negara dan ibu pertiwi.

