Cahaya terang di hujung terowong untuk pegawai perubatan kontrak

Dari Penulis

MULAI Jun 2022, sebanyak 4,186 jawatan tetap akan ditambah di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KMM) melibatkan 3,586 pegawai perubatan, 300 pegawai pergigian dan 300 pegawai farmasi.

Dengan pertambahan jawatan ini yang telah diluluskan oleh Jemaah Menteri, akan membolehkan mereka diserap ke jawatan tetap, sesuatu yang dituntut oleh pegawai perubatan kontrak khususnya sehingga mengadakan mogok seluruh negara tahun lalu.

Selain itu, memetik Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, Jemaah Menteri juga bersetuju sekurang-kurangnya 1,500 jawatan tetap pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi diwujudkan di KKM setiap tahun mulai 2023 hingga 2025.

Kabinet juga bersetuju diwujudkan 800 jawatan tetap pakar perubatan dan 70 pakar pergigian di Kementerian Kesihatan setiap tahun mulai 2023 bagi menampung keperluan pakar perubatan tetap di hospital dan klinik kerajaan.

Jelas sekali ada cahaya terang di hujung terowong bagi pegawai perubatan kontrak yang selama ini merasai seolah-olah tiada esok untuk mereka, bimbang jawatan ditamatkan apabila kontrak tamat.

Tetapi nyata kerajaan sentiasa prihatin dengan masalah mereka. Namun begitu keputusan kerajaan menambah jawatan tetap tidak harus ditakrif sebagai tunduk kepada tekanan mogok pegawai perubatan kontrak sebelum ini.

Kerajaan memahami masalah yang mereka hadapi. Cuma kerajaan tidak dapat terus segera menyerap pegawai perubatan kontrak ini kerana perlu mengambil kira kekosongan jawatan, keperluan dan peruntukan kewangan, sejajar dengan prosedur perjawatan awam.

Langkah Khairy yang mengambil serius masalah pegawai perubatan kontrak sehingga mendapat lampu hijau kabinet untuk diserap ke jawatan tetap, melambangkan kesungguhan beliau dan kerajaan mengatasi masalah pegawai perubatan berkenaan.

Kerana jaminan beliau juga, mogok kedua yang dicadang pada 8 Disember 2021 dibatalkan sementara beliau mencari penyelesaian terbaik. Kerajaan tidak mahu protes yang menyaksikan pegawai perubatan kontrak ini meninggalkan tugas masing-masing di hospital dan klinik kesihatan berulang, walau pun hanya untuk beberapa minit.

BERITA BERKAITAN Hartal Doktor Kontrak 2.0 akan dilaksana, protes Bajet 2022

Kini bukan sahaja usaha itu berjaya, malah keistimewaan juga kini diberi kepada pegawai perubatan kontrak untuk melanjutkan pengajian ke peringkat kepakaran (specialist) serta layak menerima tajaan biasiswa Hadiah Latihan Persekutuan (HLP).

Ini terkandung dalam pekeliling bertarikh 5 Januari 2022 Kementerian Kesihatan yang memperincikan pelantikan secara kontrak pegawai perubatan, pergigian dan farmasi selepas khidmat wajib bagi kesinambungan perkhidmatan atau persediaan untuk pengajian kepakaran.

Sebelum ini hanya pegawai perubatan yang telah selesai menjalani latihan wajib atau houseman dan disahkan dalam jawatan sahaja, serta berkhidmat sekurang-kurangnya tiga tahun serta memperoleh penilaian 85 peratus Laporan Penilaian Prestasi Tahunan (LNPT), layak untuk melanjutkan pengajian ke peringkat kepakaran. Ertinya tiada peluang untuk pegawai perubatan kontrak.

Kerana itu tindakan kerajaan melonggarkan syarat ini dilihat sebagai satu perubahan dasar yang besar demi memberi peluang kepada pegawai perubatan kontrak memajukan diri, sejajar dengan janji Khairy sebelum ini.

Langkah ini juga berupaya membantu menambah bilangan doktor pakar dalam pelbagai bidang yang tentunya akan memanfaatkan negara.

Penyerapan ribuan pegawai perubatan, pergigian dan farmasi ini hendaklah dilihat sebagai langkah permulaan yang sangat positif, walau pun masih ada yang belum dapat diserap kali ini.

Kepada mereka, jangan putus asa dan bersabar menunggu giliran. Tambahan lagi, kerajaan pada 14 Julai 2021 bersetuju agar pegawai perubatan yang sudah sudah lengkap tempoh kontrak wajib dilantik semula secara kontrak.

Kerana itu kedudukan pegawai perubatan kontrak lebih terjamin dan boleh bertugas dengan hati tenang, tidak lagi bimbang kontrak ditamatkan selepas tamat tempuh. Tentulah peluang untuk diserap ke jawatan tetap lebih cerah, atau menyambung pengajian ketika masih dalam status kontrak.

Perlantikan semula secara kontrak ini dibuat berdasar kohort, merangkumi pegawai perubatan kohort lantikan 2017 dan pegawai yang dilanjutkan latihan siswazah dan lengkap khidmat wajib 2022. Juga pegawai pergigian kohort lantikan 2019 serta pegawai farmasi kohort lantikan 2019.

Di samping itu dalam usaha memastikan tidak berlaku lambakan atau glut siswazah perubatan, dan memastikan mereka tidak menghadapi masalah kerja selepas lulus, perlu ada unjuran keperluan pegawai perubatan setiap tahun.

Berdasarkan unjuran ini, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) boleh meminta institusi pengajian tinggi merancang pengambilan pelajar perubatan setiap tahun. Jika sudah terlalu ramai, hentikan pengambilan untuk tempuh tertentu dan disambung semula apabila ada keperluan. Pada masa sama terus pastikan lulusan perubatan berkualiti tinggi.

Sehingga ini sektor awam menjadi wadah utama untuk lulusan perubatan mencari kerja. Sementara kerajaan akan berusaha menampung mereka, kerajaan juga ada kekangan lain. Jika lambat sedikit, bersabarlah. Tidak perlu pun mogok. Bersyukurlah kerana kerajaan sentiasa prihatin membela nasib mereka.

* Penulis memulakan kerjaya kewartawanan di Berita Harian pada 1979 sebelum menyertai Utusan Melayu pada 1980. Beliau kemudian melanjutkan pengajian kewartawanan sehingga peringkat sarjana di Boston University, Amerika Syarikat. Jawatan terakhir Penolong Ketua Pengarang Utusan


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!

Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Kewujudan Parti Wawasan Negara, apa nasib Bersatu dalam PN?

ARENA politik negara tidak pernah sunyi dengan pelbagai jenis drama tidak kira di pihak kerajaan mahu pun pembangkang. Pergolakan yang...

More Articles Like This