SEBUAH lagi bot membawa lebih seratus pelarian Rohingya termasuk puluhan kanak-kanak mendarat di pantai barat wilayah Acheh awal pagi hari ini.
Ia pendaratan kedua etnik itu selepas ketibaan terakhir pada hujung Disember lalu di lokasi hampir sama.
Memetik laporan agensi berita AFP yang memetik polis sebagai berkata, bot berkenaan berlayar dari sebuah kem Rohingya di Bangladesh dan tiba kira-kira pukul 3 pagi tadi di sebuah pantai dekat daerah Bireun.
Menurut polis, bot itu membawa 114 orang termasuk 58 lelaki, 21 wanita dan 35 kanak-kanak berumur bawah 15 tahun.
Ketua polis tempatan, Mike Hardy Wirapraja berkata, pihaknya akan menjalankan pemeriksaan kesihatan awam dan ujian antigen pantas (RTK) terhadap warga asing berkenaan.
“Mereka kemudian akan dibawa ke daerah jiran, Lhokseumawe, yang mempunyai sebuah pusat perlindungan untuk pelarian,” katanya.
Polis hanya dimaklumkan mengenai ketibaan pelarian itu selepas beberapa nelayan tempatan melaporkan sebuah bot mengandungi etnik Rohingya mendarat dekat pantai.
Bot tersebut kelihatan dalam keadaan baik dan pelarian mempunyai bekalan serta makanan mencukupi semasa pelayaran.
Sementara itu, seorang pelarian, Omar Faruk berkata, mereka yang berasal dari Myanmar memulakan perjalanan dari Bangladesh dan sudah berlayar selama 25 hari.
“Kami meninggalkan Bangladesh kerana keadaan orang Rohingya di kem berkenaan tidak baik, ia menjadi lebih teruk ketika ini,” kata seorang kanak-kanak pelarian berumur 11 tahun dalam bahasa Inggeris.
Faruk berkata, dia meninggalkan ibunya di Bangladesh dan mengikuti pakciknya untuk memulakan hidup baharu, dengan memilih negara majoriti Islam seperti Indonesia atau Malaysia.
Disember lalu, lebih 100 pelarian Rohingya tiba di Bireun Indonesia selepas belayar beberapa bulan di lautan, sebelum kerajaan Indonesia akhirnya membenarkan mereka mendarat dan menunda bot mereka ke pantai.

