SEMPADAN Johor-Singapura tidak sama seperti pintu masuk di tempat lain.
Hampir 300,000 warga Johor berulang alik bekerja di Singapura begitulah sebaliknya dengan bandar raya Johor Bahru menjadi tumpuan warga republik itu membeli-belah.
Tidak terkecuali dari aspek pelancongan bagi seluruh Malaysia yang mana pelancong Singapura adalah segmen penting kepada sektor berkenaan.
Justeru, Tan Sri Muhyiddin Yassin atas kapasiti beliau sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) beberapa kali memberi penekanan perlunya sempadan negara dibuka.
Malah, Muhyiddin pernah menyebut tarikh seawal 1 Mac sebagai satu cadangan kepada kerajaan susulan perkembangan COVID-19 yang jauh berubah berikutan program vaksinasi.
Justeru, apabila kerajaan mengumumkan sempadan negara bakal dibuka 1 April ini sejar dengan fasa endemik, Muhyiddin berkata, Alhamdulillah.
Baca: Sempadan Malaysia dibuka mulai 1 April, rakyat bebas ke luar negara – Ismail Sabri
Johor paling terkesan langkah tutup sempadan – Muhyiddin
Ketika berucap pada program Pentas Anak Muda Perikatan Nasional (PN) di Pagoh malam tadi, Muhyiddin berkata, ini sudah lama diperjuangkannya supaya sempadan negara dibuka cepat.
“Tanpa dibuka sempadan, pemulihan ekonomi negara tidak akan berlaku dengan cepat.
“RM80 bilion yang dibelanja 28 juta pelancong tiap-tiap tahun akan hilang begitu sahaja.
“Sebab itu, bukalah. Alhamdulillah hari ini sudah diumum buka. Walau lambat sedikit, tetapi saya fikir daripada lambat baiklah ia diputus segera untuk dibuka 1 April,” katanya.
Jelas Muhyiddin, Johor adalah negeri paling terkesan dengan hampir 300,000 rakyat berulang alik bekerja di Singapura.
“Orang Singapura pula tak boleh berbelanja di Johor.
“Sebab itu, negeri Johor paling terjejas dengan penularan wabak COVID-19,” ujar beliau.

