Satu perkahwinan di daerah Etawah di Kanpur tidak menjadi kenyataan apabila pengantin perempuan enggan mengahwini bakal suaminya selepas mengetahui dia botak. GAMBAR HIASAN


SATU majlis perkahwinan di India baru-baru ini berakhir dengan kegagalan apabila pengantin perempuan enggan disatukan dengan bakal suami yang baru dikenalinya setelah dia didapati botak.


Perkahwinan dirancang orang tua merupakan perkara biasa di India namun ia tidak selalunya berjalan lancar tanpa halangan.


Ada kalanya, pengantin perempuan atau pengantin lelaki bertindak lari dengan kekasih mereka, tidak kurang juga dengan tragedi melanda apabila mereka mengetahui bakal pasangan mereka mempunyai masalah. 


Sebagai contoh, satu perkahwinan di daerah Etawah di Kanpur tidak menjadi kenyataan apabila pengantin perempuan enggan mengahwini bakal suaminya selepas mengetahui dia botak.


Menurut Times of India, majlis perkahwinan itu pada awalnya berjalan mengikut perancangan termasuk perarakan pertukaran kalungan bunga sehingga pengantin perempuan menyedari bakal suaminya terlalu memberi tumpuan kepada penutup kepalanya.


Dia kemudiannya membangkitkan perkara itu kepada seseorang dalam rombongannya, dan dia dimaklumkan mungkin bakal suaminya botak dan memakai rambut palsu.


Terkejut dengan pendedahan itu, wanita itu dilaporkan bersemuka dengan pengantin lelaki yang kemudiannya mengesahkan dia sebenarnya botak, membuatkan wanita tersebut pengsan di tempat kejadian.


Sejurus dia sedar tidak lama kemudian, pengantin perempuan enggan meneruskan perkahwinan itu dan memaklumkan keluarganya bahawa dia tidak akan berkahwin dengan lelaki botak.


Saudara-mara wanita itu cuba memujuk pengantin perempuan namun cubaan mereka gagal meyakinkannya sehingga mereka tidak mempunyai pilihan selain memberitahu keluarga pengantin lelaki bahawa perkahwinan itu terpaksa dibatalkan.


Nyata tindakan itu kurang disenangi pihak lelaki sehingga terjadi pergaduhan.


Keluarga pengantin perempuan kemudiannya menuduh pihak pengantin lelaki menipu mereka dengan tidak mendedahkan keadaan rambutnya.


Akhirnya, warga emas di kampung itu masuk campur dan menenangkan kedua-dua keluarga untuk membuat haluan masing-masing. 


Bagaimanapun, menurut sumber polis tempatan, kedua-dua pihak pengantin akhirnya membuat laporan terhadap satu sama lain, mendakwa bahawa mereka telah ditipu.


Namun kedua-dua pihak kemudiannya menarik balik laporan masing-masing dan menyelesaikan isu secara baik.