
SEBELUM hari penamaan calon pada 5 November 2022, beberapa gagasan besar tegar dengan pendirian masing-masing kononnya mampu bersendirian mengharungi PRU-15.
Namun, selang beberapa hari selepas tarikh itu, khabarnya satu demi satu gagasan tersebut dikatakan mengadakan perbincangan dengan satu gagasan ini yang dilihat cukup mantap mengharungi PRU kali ini.
Mulanya diberitakan mereka berbincang secara tertutup, kini ada dalam kalangan pemimpin gagasan berkenaan membuat kenyataan secara terbuka.
Saya menyuarakan pandangan ini sebagai seorang pengundi yang telah dimatangkan oleh proses pilihan raya yang telah saya lalui sejak 50 tahun lalu.
Pada hemat saya, jika benar beberapa gagasan parti politik berkenaan mengadakan pakatan dengan gagasan yang satu ini, maknanya mereka itu telah mengaku kalah sebelum 19 November.
Tindakan pemimpin mereka membuat kenyataan sedemikian sebenarnya telah, secara langsung, menyarankan kepada para pengundi untuk “memberikan” undi mereka kepada gagasan yang satu ini.
Pada hemat saya, sifirnya ialah, jika mereka menang pun belum cukup kuat untuk membentuk kerajaan, hatta, opsyen yang realistik ialah membentuk kerajaan bersama dengan gagasan yang satu ini.
Dengan kelebihan undi yang telah awal-awal lagi mereka “berikan” kepada gagasan ini sudah pasti kepimpinan negara akan diterajui oleh pemimpin dari gagasan ini.
Baca artikel berkaitan: Randau MPM: Sudah-sudahlah menadah tangan mengemis ihsan
Realitinya, kenyataan sedemikian sebelum 19 November, adalah satu manifestasi bahawasanya, ada dalam kalangan barisan tertinggi kepimpinan gagasan berkenaan yang semakin gugup berdepan dengan realiti semasa, apabila mereka dapat membaca mood para pengundi.
Saya masih ingat sekitar Ogos 2018 saya ada menulis rencana menyuarakan pandangan saya mengenai perubahan arus peralihan kutub kuasa politik tanah air.
Sejak lebih 60 tahun, UMNO adalah kutub politik paling dominan dalam negara ini. Malangnya, setiap kali UMNO bergolak dan berlaku perpecahan, serpihan politik daripadanya akan bersekutu dengan satu lagi kutub politik tanah air, iaitu DAP. Di era keunggulan UMNO, tidak ramai ambil peduli akan kehadiran DAP.
Masa berlalu pantas. Setiap kali UMNO bergelora, “seterunya” akan berhijrah bersekutu dengan DAP. Ada yang bersekutu buat seketika, seperti Semangat 46 dan BERSATU, atau buat beberapa ketika, seperti PAS, tapi ada yang kekal hingga kini, iaitu PKR.
Hibanya, keruntuhan dalam UMNO terus berlaku, hinggakan UMNO itu sendiri hampir menjadi parti serpihan dan kini ia pula dikhabarkan menawaarkan diri untuk bersekutu dengan kutub yang satu lagi, iaitu DAP.
Betul lah, bila berterusan berdepan krisis UMNO wajib “berhijrah” tapi bukan itu bentuk penghijrahan yang sewajarnya.
Pada hemat saya, jika UMNO hendak berhijrah setelah memahami mood pengundi, ia sepatutnya segera membina satu naratif baharu untuk meyakinkan pengundi bahawasanya UMNO itu telah insaf dan belajar dari semua kesilapan lampau.
Bahawasanya, UMNO yang bernafas baru menjelang 19 November ini ialah UMNO yang sebenarnya dicari-cari selama ini oleh majoriti pengundi yang bijaksana.
Ia adalah UMNO yang akan dipimpin mereka yang bersifat mahmudah, yang mengutamakan kesejahteraan, kemakmuran dan keharmonian dalam kalangan semua warganegara. Ia adalah UMNO yang mengutamakan penyatuan seluruh bangsa dan warganegara.
Jika ditanya pendapat saya, inilah naratif yang ditunggu-tunggu oleh kami para pengundi. Masih ada 10 hari untuk UMNO yang menerajui BN, membina naratif baharu ini. Bukannya mengalah sebelum 19 November.
Penulis adalah Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu (MPM)
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

