Tidak terdesak? Tak payahlah keluar duit caruman KWSP RM10,000!

Dari Penulis

“WALAUPUN kerajaan memberi kebenaran untuk pengeluaran khas KWSP ini, saya merayu kepada para pencarum mengekalkan simpanan mereka kecuali benar-benar mendesak.”

Itu kata-kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika mengumumkan kerajaan membenarkan pengeluaran khas caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM10,000 Rabu lalu.

Bagi beliau, keputusan itu adalah sesuatu yang sukar kerana ia melibatkan simpanan hari tua rakyat. Justeru beliau mahu para pencarum membuat pertimbangan sewajarnya sebelum memutuskan membuat pengeluaran kerana ia merupakan simpanan masa depan.

Daripada nada rayuannya kepada pencarum, penulis dapat rasai Ismail Sabri membenarkan pengeluaran ini secara ‘izin dalam paksa’. Ingatannya kepada rakyat agar beringat sebelum mengeluarkan caruman, membuktikan beliau seboleh-bolehnya mahu rakyat mempertahankan simpanan hari tua.

Sebelum ini kerajaan tegas tidak membenarkan lagi pengeluaran KWSP. Beberapa siri pengeluaran yang dibenarkan sebelum ini menyaksikan simpanan pencarum menyusut dengan teruk.

Tetapi kerana desakan pelbagai pihak, termasuk yang lantang daripada para pemimpin UMNO sendiri, kerajaan akur. Alasan mewajarkan pengeluaran ialah untuk meringankan beban rakyat yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Bagi Ismail Sabri, kebenaran kali ini adalah sebagai jalan tengah dalam mengimbangi keperluan mendesak hari ini dengan simpanan masa hadapan. Oleh itu bagi yang tidak terdesak, elok tidak membuat pengeluaran hanya semata-mata kerana peluang ada di depan mata. Usah ganggu simpanan masa hadapan.

Bukannya pengeluaran tidak dibenarkan sebelum ini. Beberapa siri pengeluaran melalui Skim i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra dilaksanakan pada asasnya untuk membantu mereka yang terkesan akibat Covid-19, walaupun kerajaan sendiri memberi pelbagai bantuan kepada mereka yang terjejas.

Kerana itu kerajaan keberatan membenarkan lagi pengeluaran demi masa depan pencarum sendiri. Namun aspek ini bagai tidak difahami oleh kelompok pendesak. Akibatnya, desakan bertubi-tubi dan bertali arus terus disuarakan bagai tidak menghormati keputusan kerajaan. Akhirnya kerajaan akur.

BERITA BERKAITAN Pengeluaran KWSP: Bertindak bijak imbang keperluan dan simpanan masa tua

Pendesak dan pencarum janganlah terlebih seronok kerana berjaya dalam desakan. Jika sebelum ini ada justifikasi iaitu membantu ramai yang hilang kerja kerana pandemik Covid-19, adakah kebenaran kali ini ada justifikasi dalam keadaan sektor ekonomi sudah dibuka dan rakyat mempunyai sumber lain mencari rezeki?

Memang benar yang dikeluarkan ialah duit sendiri. Tetapi duit itu adalah untuk simpanan hari tua. Membawa keluar bererti simpanan menyusut, dividen juga menurun. Sampai bila hendak berpaut kepada duit KWSP? Gunung ditarah pun lama-lama akan gondol.

Kerana itu fikirkan dengan mata hati samaada pencarum perlu membawa keluar simpanan. Jangan mudah terpengaruh dengan orang lain membawa keluar maka sendiri juga mahu berbuat demikian walau tiada keperluan.

Imbau kembali pengeluaran sebelum ini dengan tujuan utama membantu mereka yang terjejas akibat Covid-19 mampu meneruskan kehidupan. Skim i-Lestari dan i-Sinar dilaksanakan pada 2020, diikuti i-Citra pada Julai 2021. Kelonggaran seperti ini tidak pernah diberikan sebelum ini tetapi peraturan dilenturkan utuk memenuhi keperluan aliran tunai ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan suasana ekonomi yang suram.

Tetapi sayangnya kelonggaran ini dianggap sebagai sesuatu yang mesti terus menerus diberi tanpa memikirkan kesan masa depan pencarum. Kerajaan diasak dengan desakan pengeluaran one off sebanyak RM10,000, kononnya yang terakhir dalam siri ‘permintaan’ mengeluarkan caruman.

Kerajaan mempunyai sebab kukuh kenapa pada mulanya tidak membenarkan lagi pengeluaran dengan mengambil kira data pengeluaran sebelumnya. Sehingga Oktober 2021, pengeluaran di bawah pelbagai skim KWSP yang dibenarkan berjumlah RM101 bilion.

Apa kesannya kepada pencarum? Sejumlah 6.1 juta kini mempunyai kurang daripada RM10,000 dalam akaun mereka. Belum cukup merisaukan? Ketahuilah daripada jumlah tersebut sebanyak 3.6 juta pencarum, iaitu lebih separuh, mempuyai kurang daripada RM1,000 dalam simpanan hari tua. Cukupkah?

Tentunya mereka ini tidak mendapat manfaat pun daripada kelonggaran pengeluaran one off RM10,000 itu dengan jumlah simpanan yang begitu sedikit.

Dalam aspek ini, kaum Bumiputra berhati-hatilah kerana mereka dikenal pasti sebagai kelompok paling ramai membuat pengeluaran. Akibatnya 4.4 juta atau 54 peratus golongan tersebut mempunyai simpanan kurang daripada RM10,000. Dua juta atau 25 peratus mempunyai simpanan kurang daripada RM1,000.

Kuantum asas yang mesti ada dalam simpanan pencarum KWSP sehingga usia persaraan 55 tahun ialah RM240,000 bagi membolehkan pencarum melalui kehidupan selesa. Berdasarkan statistik yang diberikan, jelas sekali ramai daripada pencarum berada jauh dari paras asas ini.

Dengan senario tidak menggembirakan ini, seronokkah untuk terus mengeluarkan caruman? Itu pun bagi yang masih ada banyak baki dalam simpanan. Yang sudah kering simpanan kerana sentiasa dikeluarkan, boleh tumpang seronok sahaja.

Kerana itu ingatlah nasihat perdana menteri, simpanlah wang untuk hari tua. Biar wang untuk diri sendiri terus bertambah dan wang dalam KWSP juga bertambah. Dengan itu ia boleh melebarkan sayap pelaburan dalam pelbagai portfolio. Untungnya nanti kepada pencarum juga dalam bentuk kadar dividen lebih tinggi.

Kepada pencarum yang layak mengeluarkan RM10,000, hanya diri sendiri yang tahu perlu atau tidak mengeluarkan caruman. Seeloknya jangan dibiarkan duit susut kerana untuk mengisi kembali akan mengambil masa lama, sedangkan jika tidak diusik semakin banyak. Pilihan di tangan sendiri!

* Penulis memulakan kerjaya kewartawanan di Berita Harian pada 1979 sebelum menyertai Utusan Melayu pada 1980. Beliau kemudian melanjutkan pengajian kewartawanan sehingga peringkat sarjana di Boston University, Amerika Syarikat. Jawatan terakhir Penolong Ketua Pengarang Utusan


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!

Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

‘Selamat malam Rohingya’, ini masanya untuk Malaysia bertindak

KITA bukan hendak membenci mereka, tetapi ada banyak laporan buruk mengenai kelibat mereka di tanah air kita yang tercinta...

More Articles Like This