LATEST ARTICLES

Pas hentikan kerjasama politik dengan Bersatu – Hadi Awang

MESYUARAT Khas Jawatankuasa Kerja Pas Pusat menetapkan parti itu menghentikan kerjasama politik dengan Bersatu.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, mesyuarat yang diadakan pada hari ini juga memperakukan keputusan Mesyuarat Majlis Syura Ulamak pada 2 Jun lalu berhubung pertimbangan dasar, hukum dan maslahah kerjasama politik PAS, atas prinsip penyatuan ummah.

Selain itu, Abdul Hadi berkata, mesyuarat juga meneliti kedudukan dan hala tuju kerjasama politik Pas–Berdasarkan berdasarkan laporan, kajian dan penilaian semasa.

“Kita juga meneroka suatu bentuk persefahaman politik dan kerjasama pilihan raya (electoral pact) demi penyatuan ummah, bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri dan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

“Mesyuarat juga bersetuju menerima hasrat tokoh-tokoh akademik, profesional, pemimpin politik, dan aktivis masyarakat untuk menyertai Pas,” katanya.

Risiko belanjawan gagal diluluskan punca PRN Negeri Sembilan diadakan

PAKATAN Harapan (PH) menyifatkan Negeri Sembilan berdepan risiko krisis pentadbiran sekiranya Belanjawan Negeri gagal diluluskan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dijadual berlangsung Oktober depan.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, kemungkinan berlakunya kegagalan meluluskan belanjawan itu menjadi antara sebab utama mengapa mandat baharu perlu dikembalikan kepada rakyat menerusi Pilihan Raya Negeri (PRN).

Beliau berkata, kelulusan belanjawan adalah agenda paling penting dalam sidang DUN kerana ia menentukan kelangsungan pentadbiran kerajaan negeri serta pelaksanaan pelbagai program pembangunan dan kebajikan rakyat.

Menurutnya, jika belanjawan berkenaan gagal diluluskan, ia memberi gambaran bahawa kerajaan negeri sudah kehilangan sokongan majoriti dalam DUN.

“Kegagalan meluluskan belanjawan akan menyebabkan kerajaan negeri tidak dapat berfungsi dengan lancar, peruntukan pembangunan tidak dapat disalurkan dan program kebajikan rakyat terjejas.

“Operasi pentadbiran negeri juga akan berdepan kesukaran sebelum DUN akhirnya perlu dibubarkan dan pilihan raya diadakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Loke berkata, meneruskan susunan politik sedia ada tanpa mendapatkan mandat baharu daripada rakyat adalah satu risiko yang terlalu besar untuk diambil.

Katanya, daripada menunggu sehingga tercetus krisis politik dan pentadbiran yang lebih serius pada Oktober, adalah lebih wajar rakyat diberi peluang menentukan semula kerajaan yang mempunyai sokongan majoriti.

“Isunya bukan sekadar soal politik, tetapi membabitkan kestabilan pentadbiran negeri dan kebajikan rakyat.

“Dalam sistem demokrasi, rakyat adalah penentu akhir. Biarlah rakyat membuat keputusan parti mana yang mempunyai majoriti dan layak mentadbir Negeri Sembilan untuk tempoh lima tahun akan datang,” katanya.

Beliau berkata, kestabilan politik tidak boleh dipertaruhkan kerana masa depan Negeri Sembilan perlu dibina atas mandat yang jelas dan kukuh daripada rakyat.

Sehubungan itu, beliau menggesa mandat dikembalikan kepada rakyat bagi membolehkan mereka menentukan hala tuju pentadbiran negeri serta mengelakkan sebarang ketidaktentuan yang boleh menjejaskan urusan kerajaan dan kepentingan rakyat.

Akmal cabar PM buang semua MP UMNO jika BN tiada peranan

KETUA Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh, mencabar Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, menyingkirkan semua Ahli Parlimen UMNO daripada Kerajaan Perpaduan jika benar Barisan Nasional (BN) dianggap tidak memainkan peranan penting dalam pembentukan kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Beliau berkata, kenyataan yang mempertikaikan peranan BN dalam pembentukan Kerajaan Perpaduan adalah tidak berasas kerana gabungan itu antara pihak yang membantu memastikan kerajaan dapat dibentuk ketika negara berdepan situasi Parlimen tergantung.

Akmal berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Kamil Munim, yang mengkritik Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berhubung kenyataannya mengenai peranan BN dalam penubuhan Kerajaan Perpaduan.

Menurutnya, kepimpinan PKR tidak sepatutnya melupakan sejarah awal pembentukan kerajaan selepas PRU15, termasuk pertemuan yang diadakan dengan pimpinan UMNO bagi mendapatkan sokongan membentuk kerajaan.

“Mungkin mereka terlupa atau buat-buat lupa bahawa selepas PRU15, UMNO sudah bersedia menjadi pembangkang.

“Namun ketika itu, pihak yang gagal membentuk kerajaan datang mendapatkan sokongan BN untuk memastikan sebuah kerajaan dapat ditubuhkan,” katanya menerusi kenyataan di media sosial, hari ini.

Muhamad Akmal turut mempertahankan Zahid yang didakwa bersikap angkuh apabila mengingatkan mengenai peranan BN dalam pembentukan kerajaan.

Beliau mempersoalkan dakwaan berkenaan dan menegaskan apa yang disebut Presiden UMNO itu adalah berdasarkan fakta sejarah politik pasca-PRU15.

Katanya, jika benar ada pihak beranggapan BN tidak mempunyai peranan dalam Kerajaan Perpaduan, maka mereka perlu berani membuktikannya.

“Jika kepimpinan PKR merasakan BN tidak mempunyai peranan dalam kerajaan ini, saya cabar Perdana Menteri untuk menyingkirkan semua Ahli Parlimen UMNO daripada Kerajaan Perpaduan sekarang.

“Boleh atau tidak?” katanya.

Dalam kenyataan sama, Muhamad Akmal turut menyindir PKR berhubung beberapa janji pilihan raya termasuk pemansuhan tol dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang menurutnya gagal ditunaikan.

Pertikaman lidah antara pemimpin UMNO dan PKR itu tercetus susulan perdebatan mengenai peranan sebenar BN dalam pembentukan Kerajaan Perpaduan yang diwujudkan selepas keputusan PRU15 menyaksikan tiada gabungan memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan secara bersendirian.

Kos PRN bukan untuk ‘dibahagi’ kepada rakyat, kata Reezal Merican

DAKWAAN bahawa kos penganjuran Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor boleh diagihkan terus kepada rakyat disifatkan sebagai kenyataan populis yang mengelirukan serta tidak berpaksikan realiti pengurusan demokrasi negara.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, peruntukan bagi mengendalikan pilihan raya bukan wang tunai yang boleh dibahagikan kepada rakyat, sebaliknya dana penting bagi memastikan proses demokrasi dapat dilaksanakan secara sah dan teratur.

Beliau mengulas kenyataan Pengerusi PKR Johor, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, yang mendakwa kos PRN Johor ke-16 dianggarkan RM90 juta dan wang itu boleh dimanfaatkan untuk 4.2 juta rakyat negeri berkenaan.

“Jika dibahagikan sekali pun, jumlahnya hanya sekitar RM21 seorang dan bukannya seperti gambaran yang cuba diwujudkan.

“Lebih penting, peruntukan pilihan raya bukanlah wang yang boleh diagihkan sesuka hati kerana ia digunakan untuk membiayai keseluruhan operasi pilihan raya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Reezal berkata, kos sesebuah pilihan raya dipengaruhi pelbagai faktor termasuk jumlah pengundi, keperluan logistik, kawalan keselamatan, penggunaan teknologi serta kaedah pelaksanaannya sama ada secara berasingan atau serentak dengan pilihan raya lain.

Menurut beliau, anggaran kos PRN Johor pada masa depan juga tidak semestinya lebih rendah berbanding RM90 juta yang dibelanjakan pada 2022, malah berkemungkinan meningkat.

Katanya, peningkatan itu didorong faktor inflasi dan kenaikan kos operasi yang melibatkan elaun petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), pengangkutan, logistik, kawalan keselamatan serta harga bahan keperluan pilihan raya.

Selain itu, katanya, pertambahan jumlah pengundi berdaftar di Johor berbanding sebelum ini turut memerlukan perbelanjaan pengurusan yang lebih besar.

Mengulas cadangan supaya PRN Johor diadakan serentak dengan Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16), beliau berkata terdapat beberapa pertimbangan undang-undang dan politik yang perlu diambil kira.

Beliau berkata, penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor hanya akan berakhir pada April 2027, manakala setakat ini tiada petunjuk jelas mengenai tarikh pembubaran Parlimen bagi memberi laluan kepada PRU-16.

“Kerajaan Negeri Johor mempunyai hak dan kuasa untuk menentukan masa pembubaran DUN mengikut pertimbangan sendiri.

“Walaupun ada pihak yang mendesak supaya pilihan raya diadakan serentak, keputusan itu perlu mengambil kira kepentingan negeri dan mandat rakyat Johor,” katanya.

Reezal turut berpandangan bahawa pelaksanaan PRN secara berasingan membolehkan isu tempatan diberikan perhatian sewajarnya tanpa tenggelam dalam naratif politik nasional.

Beliau mengakui penggabungan PRU dan PRN berpotensi menjimatkan kos, namun menegaskan kestabilan pentadbiran negeri serta mandat yang jelas daripada rakyat lebih penting daripada pertimbangan kewangan semata-mata.

“Adalah tidak adil untuk menangguhkan PRN Johor hanya atas alasan penjimatan kos atau bagi memenuhi strategi politik pihak tertentu,” katanya.

Hospital Melaka jadi penanda aras nasional, terima peruntukan khas RM1.6 juta

HOSPITAL Melaka akan dijadikan penanda aras mandatori bagi pelaksanaan model pengurusan hospital di seluruh negara susulan kejayaannya mengurangkan kesesakan pesakit menerusi transformasi digital dan pembaharuan struktur operasi.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, hospital berkenaan membuktikan strategi pengurusan yang cekap dan penggunaan teknologi mampu meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan kesihatan awam secara ketara.

Sehubungan itu, beliau mengumumkan kelulusan peruntukan khas segera berjumlah RM1.6 juta bagi tujuan perolehan aset serta penambahbaikan infrastruktur Hospital Melaka bagi menyokong momentum kecemerlangan operasinya.

“Hospital Melaka telah membuktikan bahawa pembaharuan struktur dan pendigitalan mampu mengubah landskap penyampaian perkhidmatan kesihatan awam.

“Melalui pelaksanaan Bed Management System (BMS) yang diselaraskan menerusi Unit Pengurusan Katil, Penyelaras Jururawat dan Pengurusan Pemindahan Pesakit, hospital ini berjaya mengurangkan masa menunggu katil wad sebanyak 46 peratus,” katanya dalam kenyataan selepas mengadakan lawatan kerja ke Hospital Melaka, hari ini.

Beliau berkata, inovasi sistem triad digital i-CEMAS yang muncul naib juara Anugerah Inovasi Kementerian Kesihatan (KKM) 2025 turut membantu menjimatkan masa menunggu pesakit bukan kecemasan sehingga 68 minit.

Menurutnya, kejayaan itu bukan sahaja meningkatkan kecekapan operasi hospital, malah memberi impak langsung kepada pengalaman pesakit yang menerima rawatan.

Katanya, maklum balas diterima menunjukkan ramai pesakit memuji kualiti perkhidmatan di Hospital Melaka yang disifatkan prihatin, profesional dan setanding dengan sektor penjagaan kesihatan swasta.

“Saya melihat model kejayaan berimpak tinggi di Hospital Melaka ini sebagai satu pencapaian yang amat membanggakan.

“Saya telah mengarahkan supaya model ini dijadikan kayu ukur mandatori untuk dilaksanakan di semua hospital KKM di seluruh negara,” katanya.

Dzulkefly berkata, gabungan tadbir urus yang cekap dan inovasi berteraskan keperluan pesakit itu selari dengan prinsip kesaksamaan dan ihsan yang menjadi teras Kerajaan MADANI.

Beliau menegaskan KKM akan terus menyokong dan melabur dalam usaha pembaharuan seumpama itu bagi memastikan sistem kesihatan negara kekal mampan, moden dan berorientasikan rakyat.

“KKM komited memastikan sistem kesihatan negara bukan sahaja canggih dan berdaya tahan, malah terus mengekalkan nilai kemanusiaan dalam penyampaian perkhidmatan kepada seluruh rakyat Malaysia,” katanya.

‘Terlajak kata buruk padahnya’ – Fahmi beri ingatan kepada Onn Hafiz

“TERLAJAK kata buruk padahnya”.

Demikian tegas Datuk Fahmi Fadzil kepada Datuk Onn Hafiz susulan kenyataan Menteri Besar Johor itu menolak kerjasama Barisan Nasional (BN) dengan DAP dalam Pakatan Harapan (PH) jika membentuk kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.

Kenyataan ringkas itu diluahkan Fahmi yang juga Ketua Penerangan PKR itu menjawab apa yang dikatakan Onn Hafiz bahawa DAP tidak pernah dan tidak akan ada dalam kerajaan Johor pimpinan BN.

Menjawab perkara sama, Naib Presiden Amanah, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, dalam politik, semua pihak perlu mengizinkan apa jua kemungkinan dan apa jua yang akan berlaku.

“Don’t burn bridges. Jangan terlalu jumud dan kita perlu perluaskan rangkaian persahabatan, mengurangkan circle musuh,” katanya.

Kedua-dua pemimpin terbabit ditemui selepas mempengerusikan Sesi Persidangan Meja Bulat (Round Table Discussion) Pelaporan Media Selamat Berkaitan Tingkah Laku Bunuh Diri di Putrajaya hari ini.

Dr Dzulkefly menambah, sayang dan juga benci perlulah berpada-pada kerana tidak siapa yang akan tahu apa takdir yang mendatang.

“Jadi jangan terlalu jumud. Ke depan nanti kita tak tahu apa ketentuan Allah,” tegasnya.

Terdahulu Onn Hafiz memberitahu, tekadnya dalam PRN itu boleh menjadi kenyataan sekiranya Bangsa Johor terus memberi sokongan dan mandat kepada BN Johor.

“Ini bukan soal sombong. Ini juga bukan soal perkauman. Ini soal prinsip, mandat dan tanggungjawab kepada Bangsa Johor.

“Sebagai Pengerusi BN Johor, yang menjaga kebajikan dan berkhidmat untuk setiap kaum di Johor, saya wajib menghormati hasrat rakyat akar umbi di setiap peringkat yang mahu kita bergerak sendiri dalam PRN Johor 2026,” katanya.

Pas tak buat kenyataan semata-mata beritahu terima, jawab surat – Afnan Hamimi

“BEZANYA, Pas tidak buat kenyataan media hanya semata-mata nak beritahu ia menerima dan menjawab surat.”

Demikian kata Ketua Dewan Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden dalam hantaran di Facebook, hari ini.

Afnan Hamimi memberitahu, surat yang dihantar Pas kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) merupakan jawapan balas terhadap surat yang dihantar Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 25 Mei lalu.

Menurut beliau, jawapan balas itu berhubung hubungan antara Bersatu dengan Pas.

“Panjangnya (surat Muhyiddin) 13 muka surat. Isi kandungannya adalah respon balas Bersatu terhadap satu sidang media oleh Presiden Pas (Tan Sri Abdul Hadi Awang) usai kuliah pagi Jumaat di Rusila 22 Mei lalu mengenai hubungan Pas-Bersatu.

“Oleh kerana ada perkara-perkara yang perlu diperjelaskan Pas dengan lebih lanjut dan terperinci, maka Pas menjawab surat itu.

“Panjang surat Pas hanya lapan muka surat sahaja,” katanya dalam hantaran tersebut, hari ini.

Semalam, Pas dilaporkan menghantar surat kepada Bersatu berkenaan hubungan di antara kedua-dua buah parti, selain cadangan-cadangan untuk memperkukuhkan Perikatan Nasional (PN).

Perkara itu dinyatakan oleh Muhyiddin sambil menambah ia diutuskan oleh Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Sebelum ini, Pas menyatakan akan menilai semula kerjasama dengan Bersatu susulan beberapa tindakan parti itu yang dilihat melanggar semangat setia kawan parti komponen PN.

PPNM buat laporan SPRM, dakwa peruntukan SEED, SEDIC tidak disalur secara telus

PERTUBUHAN Perpaduan Negara Malaysia (PPNM) membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menggesa siasatan dijalankan berhubung salah guna kuasa peruntukan untuk masyarakat India.

Ia berhubung dakwaan kegagalan penyaluran mencecah ratusan juta secara telus menerusi program Pemerkasaan Usahawan India (SEED) dan Pembangunan Sosioekonomi Komuniti India (SEDIC).

Pengerusi PPNM, Syed Muhammad Imran Syed Abdul Aziz mendakwa peruntukan tersebut yang disediakan semasa pemerintahan Barisan Nasional (BN) tidak diterima sepenuhnya masyarakat India.

Beliau berkata, pihak yang diamanahkan menyalurkan dana tersebut kepada masyarakat India perlu ditanggungjawabkan walaupun Perdana Menteri dan kerajaan telah bertukar.

“Sebagai pemimpin negara, tidak kira siapa Perdana Menteri ketika itu, peruntukan telah disediakan untuk masyarakat India. Namun malangnya kaum itu (didakwa) tidak menerima manfaat yang sewajarnya,” katanya dalam satu kenyataan.

Syed Muhammad Imran turut menggesa MIC yang mewakili masyarakat India ketika era pentadbiran BN tampil memberi penjelasan berhubung isu tersebut.

Menurut beliau, MIC sebagai parti yang menjadi wakil utama masyarakat India ketika itu tidak boleh mengelak daripada memikul tanggungjawab terhadap persoalan yang dibangkitkan.

“Kalau kita lihat ketika BN memerintah, the mother of masyarakat India adalah MIC. Sebab itu MIC perlu bertanggungjawab menjelaskan perkara ini.

“Jika parti itu tidak terlibat dengan dana tersebut sekalipun, sebagai parti yang mewakili masyarakat India ketika itu mereka perlu memberikan penjelasan,” katanya lagi.

Sehubungan itu, dia berharap SPRM dapat menjalankan siasatan menyeluruh bagi memastikan segala peruntukan yang disediakan untuk pembangunan sosioekonomi masyarakat India diuruskan secara telus dan berintegriti.

Media pada 2019 melaporkan, Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Siri 1 2018 mendedahkan salah tadbir dana berjumlah jutaan ringgit disalurkan kepada Unit Khas bagi SEDIC di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) untuk meningkatkan taraf hidup masyarakat India dari 2014 hingga 2018.

Menurut LKAN, SEDIC yang ditubuhkan pada 7 Mei 2014, diberikan peruntukan RM203.89 juta bagi memberi latihan kemahiran, pembangunan keusahawanan dan peningkatan pencapaian pendidikan kepada masyarakat India dalam kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus ke bawah (B40) dari tahun 2014 hingga 2018.

MCMC arah telco tingkat liputan di Kampung Tinagat selepas aduan penduduk

SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengarahkan syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi mengambil tindakan segera bagi meningkatkan kualiti liputan komunikasi di Kampung Tinagat di sini, susulan aduan berhubung masalah perkhidmatan selular yang tidak memuaskan.

Tindakan itu dibuat selepas MCMC mengadakan lawatan ke kawasan berkenaan baru-baru ini susulan aduan dikemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas serta penduduk setempat mengenai isu liputan komunikasi yang menjejaskan pengguna.

MCMC dalam kenyataannya memaklumkan, sesi pengujian kualiti liputan dan prestasi perkhidmatan komunikasi dijalankan di tiga lokasi dikenal pasti dengan kerjasama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Tinagat.

Menurutnya, hasil pengujian Wireless Broadband Access Service (WBAS) mendapati dua daripada tiga lokasi yang diuji gagal memenuhi standard mandatori ditetapkan suruhanjaya itu.

“Dapatan pengujian berkenaan sudah dimaklumkan kepada penyedia perkhidmatan terbabit pada 29 Mei lalu untuk tindakan lanjut.

“Penyedia perkhidmatan turut diberikan tempoh tujuh hari bekerja bagi mengemukakan maklum balas serta pelan tindakan berhubung dapatan ujian berkenaan,” menurut kenyataan itu.

MCMC berkata, notis mengikut Seksyen 51(2) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 akan dikeluarkan kepada mana-mana penyedia perkhidmatan yang gagal memberikan maklum balas dalam tempoh ditetapkan.

Bagi mempercepat proses penambahbaikan, MCMC mengarahkan CelcomDigi melaksanakan langkah meningkatkan liputan rangkaian selain menyediakan pelan tindakan jangka pendek dan panjang.

Pada masa sama, Maxis pula diarahkan menjalankan kerja penyelenggaraan di tapak menara telekomunikasi Kampung Tinagat.

MCMC menegaskan pihaknya akan terus memantau pelaksanaan tindakan penambahbaikan bagi memastikan isu berkenaan dapat diselesaikan dengan berkesan serta penduduk menikmati perkhidmatan komunikasi yang lebih berkualiti.

Kerajaan perkukuh komitmen lindungi kesihatan mental rakyat

KERAJAAN MADANI memperkukuh komitmen dalam melindungi keselamatan, kesejahteraan dan kesihatan mental rakyat melalui Sesi Persidangan Meja Bulat (Round Table Discussion) Pelaporan Media Selamat Berkaitan Tingkah Laku Bunuh Diri.

Ia dipengerusikan bersama Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad dan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.

Kerjasama strategik antara Kementerian Kesihatan (KKM), Kementerian Komunikasi dan The Communications and Multimedia Content Forum of Malaysia (CMCF) itu memfokuskan kepada pembangunan garis panduan kandungan serta pelaporan selamat dalam persekitaran media dan platform digital.

Dalam kenyataan bersama KKM dan Kementerian Komunikasi, sesi dialog yang julung kali diadakan tersebut berjaya menghimpunkan kepimpinan kerajaan bersama ketua pengarang, badan industri dan pengamal media serta rakan strategik.

“Kolaborasi ini membuktikan komitmen dan kesungguhan kerajaan dalam menangani isu kesihatan mental serta keselamatan awam secara holistik, merentas kementerian dan sektor,” jelas kenyataan bersama itu.

Menurutnya, dalam era digital hari ini, komunikasi menerusi media memainkan peranan penting dalam membentuk persepsi, mengurangkan stigma serta menggalakkan masyarakat tampil mendapatkan bantuan demi kesejahteraan bersama.

Katanya, sesi tersebut turut menyaksikan pemeteraian Ikrar Media Malaysia oleh wakil organisasi media dan badan kewartawanan iaitu Majlis Media Malaysia (MMM), Gabungan Kelab Media Malaysia (GKMM) serta National Union of Journalist Malaysia (NUJ).

Langkah ini menjadi lambang komitmen kolektif industri media dalam memperkukuh amalan pelaporan yang selamat, beretika dan bertanggungjawab berkaitan isu tingkah laku bunuh diri.

“Sesi ini merupakan salah satu inisiatif di bawah Program MySAVE (Malaysia Suicide Awareness Voice of Hope) melalui pendekatan mengutamakan kepentingan kesihatan awam, selari dengan hasrat pimpinan kerajaan menuju sebuah negara bangsa yang maju dan sejahtera dalam semua aspek, termasuk kesihatan mental.

“Kerajaan turut menegaskan sokongan berterusan terhadap amalan pelaporan media yang mematuhi prinsip keselamatan, empati dan tanggungjawab sosial, tanpa menjejaskan kebebasan media sebagai tonggak penting masyarakat demokratik,” katanya.