SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menyiasat daripada pelbagai aspek berhubung kes rasuah projek bernilai RM85 juta, membabitkan institusi automotif negara.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata siasatan itu termasuk membuat siasatan forensik terhadap akaun syarikat yang terlibat di dalam kes berkenaan.
“Semua yang ditahan (dalam kes ini) masih dalam siasatan kita, dan banyak perkara kita perlu lihat (dalam melakukan siasatan).
“Terutamanya, kita kena lihat wang-wang yang disalurkan kepada syarikat lapisan kedua…yang ini memerlukan kita buat forensik akaun kepada syarikat berkenaan (yang terlibat),” katanya pada sidang media selepas Majlis Perbarisan Tamat Latihan Kursus Asas Pegawai SPRM di Kompleks SPRM Negeri Johor hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perkembangan kes berkenaan.
Baca: Rasuah projek RM85 juta, sembilan termasuk Datuk ditahan
Memetik laporan Bernama, Azam berkata selain Akta SPRM 2009, kes berkenaan juga akan disiasat mengikut Akta Penggubahan Wang Haram.
Sementara itu, beliau berkata seramai 10 individu telah ditahan membabitkan kes itu, yang mana sembilan daripadanya adalah lelaki termasuk seorang bergelar Datuk, dan seorang wanita ditahan pada 23 Mac lepas.
Menurut sumber SPRM, dua daripada individu ditahan, disyaki telah meminta dan menerima rasuah lebih RM14.9 juta daripada tiga individu yang ditahan, sebagai balasan membantu sebuah syarikat mendapatkan geran menerusi tiga syarikat lain antara 2018 dan 2020.
Sementara itu, kata Azam, hasil siasatan kes tiga pegawai Mara Corporation Sdn Bhd (Mara Corp) yang terlibat salah guna kuasa dan salah urus syarikat kepada Jabatan Peguam Negara (AGC).
Menurut beliau, pihaknya yakin ketiga-tiga suspek berkenan akan dituduh di mahkamah dalam masa terdekat.
“Jadi, kita akan tunggu keputusannya tidak lama lagi,” kata Azam.

