SEORANG pendatang asing tanpa izin (PATI) berjaya diberkas polis dalam satu kejadian kejar-mengejar di Bandar Pinggiran Subang, Shah Alam, petang semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintendan Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, kejadian itu berlaku pada pukul 5.30 petang selepas anggota kereta peronda polis Petaling Jaya menahan sebuah kereta dipandu oleh seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan berdekatan Jalan Sungai Buloh menghala ke Subang.
Katanya, semasa anggota polis hendak membuat pemeriksaan, suspek telah bertindak memecut kenderaannya dan cuba melanggar anggota bertugas menyebabkan anggota tersebut melepaskan tembakan ke arah tayar kereta suspek.
“Suspek berjaya melarikan diri dan dikejar oleh kereta peronda polis tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Baca artikel berkaitan: Dua wanita warga asing mangsa eksploitasi seks diselamatkan
Ujarnya, hasil hebahan oleh pusat kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, pihak polis telah berjaya menahan suspek di kawasan Bandar Pinggiran Subang, Shah Alam dengan bantuan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) IPD Petaling Jaya dan unit kereta peronda polis dari IPD Sungai Buloh.
“Suspek yang merupakan seorang lelaki warganegara asing berumur 40 tahun telah berjaya ditangkap dan turut dirampas adalah sebuah kereta Proton Wira Aeroback untuk siasatan selanjutnya,” katanya.
Ku Mashariman berkaya, suspek ditahan reman selama empat hari dan kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan bunuh terhadap anggota polis.
“Kes juga turut disiasat dibawah Seksyen 188 Kanun Keseksaan kerana ingkar perintah anggota polis semasa ditahan untuk pemeriksaan, seksyen 26 (2) Akta Polis 1967 kerana melarikan diri daripada pemeriksaan polis serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak mempunyai dokumen pengenalan dan perjalanan diri yang sah,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

