UMAT Islam yang berbuka puasa lebih awal daripada waktunya ekoran kesilapan radio menyiarkan azan wajib menggantikan puasa selepas Ramadan kerana ibadah pada hari itu dikira terbatal.
Demikian penjelasan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri.
Penjelasan itu dikongsikan Zulkifli menerusi infografik yang dimuat naik ke akaun media sosial miliknya, hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan ramai mengenai adakah puasa masih sah sekiranya berbuka mengikut azan yang tersilap dikumandangkan lebih awal di radio.
“Tidak sah dan batal puasa individu yang menyangka telah tenggelam matahari tetapi ia belum lagi tenggelam.
“Wajib diqada semula menurut jumhur ulama,” katanya ringkas dalam infografik berkenaan.
Baca artikel berkaitan: Selepas dua tahun, ribuan jemaah kembali berbuka puasa di Masjidil Haram

Walaupun tidak memaklumkan secara spesifik, namun hantaran itu dipercayai berkait rapat dengan laporan media apabila seorang penyampai stesen radio tempatan di Tawau, Sabah tersilap menyiarkan azan maghrib semalam.
Penyampai radio tersebut menyiarkan azan maghrib empat minit lebih awal di daerah tersebut dan kejadian itu tular dalam media sosial sehingga netizen mendakwa ada penduduk tersilap berbuka puasa akibat kejadian itu.
Penyampai tersebut, Mohd. Safwan Junit menerusi akaun Facebooknya kemudian tampil memohon maaf dan mengakui kesilapannya selain menjelaskan insiden tersebut adalah disebabkan kesilapan teknikal sehingga menyebabkan azan maghrib berkumandang dua kali iaitu pada pukul 6.16 dan 6.20 petang.
Tawau FM yang ditubuhkan pada 1964 lalu dapat diikuti para pendengar sekitar Semporna, Lahad Datu, Gugusan Felda Sahabat dan Daerah Tawau sendiri selain negara jiran, Indonesia.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram