FADILLAH YUSOF

PENSTRUKTURAN tol yang menyaksikan tiada kenaikan kadar tol bagi empat lebuh raya di Lembah Klang sehingga tamat tempoh konsesi, bukan dasar Pakatan Harapan (PH), kata Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau menegaskan inisiatif itu telah dilaksanakan sejak 2002 oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) yang menetapkan Kementerian Kerja Raya (KKR) bersama agensi berkaitan untuk berunding dengan syarikat konsesi lebuh raya bagi penstrukturan semula kadar tol lebuh raya-lebuh raya utama.

Fadillah berkata KKR telah memulakan inisiatif berkaitan tol sejak 2002, manakala PH menjadi kerajaan pada 2018 iaitu 16 tahun selepas itu.

“Rundingan dilaksanakan bersama syarikat konsesi berdasarkan unjuran trafik dan apabila sesebuah lebuh raya berkenaan telah siap dan digunakan, maka jumlah trafik sebenar akan diperoleh dan digunakan untuk rundingan penstrukturan.

Baca: Kadar tol empat konsesi lebuh raya tidak akan naik – PM

“Penstrukturan merupakan suatu inisiatif berterusan bagi memastikan rakyat tidak terbeban dengan kadar tol yang tinggi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Majlis Presiden PH dalam kenyataan memaklumkan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung keputusan kerajaan mengekalkan kadar tol di empat lebuh raya sehingga tempoh konsesi syarikat berakhir adalah kelangsungan dasar yang dimulakan gabungan itu ketika menjadi kerajaan.

Empat syarikat konsesi lebuh raya itu ialah Kesas Sdn. Bhd. yang menguruskan Lebuhraya Shah Alam (KESAS), Syarikat Mengurus Air Banjir dan Terowong Sdn Bhd (SMART), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat Sdn Bhd (Lebuhraya Skim Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat atau SPRINT) dan Lingkaran Trans Kota Sdn Bhd (Lebuhraya Damasara – Puchong atau LDP).

Fadillah berkata rundingan penstrukturan ini mengambil kira beberapa perkara iaitu mengurangkan kadar tol lebuh raya antara bandar secara berperingkat; kenaikan kos sara hidup rakyat; komitmen syarikat konsesi (pinjaman); kesan kepada tanggungan kerajaan (pampasan) dan kadar tol lebuh raya.

Beliau berkata mesyuarat Jemaah Menteri pada 3 Okt 2018 pula bersetuju supaya KKR dan Kementerian Kewangan (MOF) membentangkan hasil kajian serta analisis kos-faedah jangka masa panjang susulan cadangan penjualan lebuh raya milik kerajaan kepada pihak swasta tempatan.

Katanya, pada 2019 selaras manifesto kerajaan PH, KKR mengkaji semula industri lebuh raya dengan penekanan kepada kesan tol terhadap kos sara hidup serta mengemukakan cadangan penyelesaian terbaik berhubung perkara ini.

“Namun, mengambil kira bebanan ditanggung kerajaan untuk melaksanakan pengambilalihan itu, kerajaan (terkini) mengubah suai cadangan manifesto itu,” katanya.

Fadillah berkata kos pengambilalihan empat syarikat itu sebanyak RM5.48 bilion, iaitu RM720 juta lebih rendah berbanding tawaran pengambilalihan yang dikemukakan MOF kepada syarikat terlibat pada 2019 dengan nilai RM6.2 bilion.

Beliau berkata menerusi penstrukturan semula tol itu kerajaan tidak mengeluarkan sebarang perbelanjaan bagi transaksi tersebut, tiada sebarang jaminan kepada pembiayaan Amanat Lebuhraya Rakyat Berhad (ALR), selain tidak menanggung sebarang kos penyenggaraan dan operasi.

“Berbeza dengan tawaran dikemukakan MOF pada 2019, kerajaan perlu memberikan jaminan RM6.2 bilion untuk membiayai cadangan pengambilalihan empat syarikat konsesi itu.

“Jaminan ini mendedahkan kepada risiko kewangan termasuk wang rakyat juga digunakan untuk menanggung risiko tersebut. Kerajaan tidak wajar menggunakan peruntukan bagi kemudahan kepada rakyat sebagai pampasan,” katanya.

Fadillah berkata kesemua perjanjian kerajaan bersama pihak swasta sentiasa dipantau rapat oleh pelabur dan kerajaan tidak boleh sewenang-wenangnya mengeluarkan janji kosong atau melaksanakan sesuatu yang akan menjejaskan keyakinan pelabur.

Justeru itu katanya, setelah mengambil kira kesemua faktor, kerajaan bersetuju dengan cadangan terbaharu ini, iaitu tiada lagi pemegang saham, ia dilaksanakan secara sukarela oleh pemegang saham sedia ada.

“Oleh kerana tiada pemegang saham maka tiada elemen komersial seperti bayaran dividen yang akan meningkatkan kos. Tempoh konsesi dari sekarang adalah hanya untuk menanggung kos kewangan serta kos operasi dan penyelenggaraan,” katanya.

— BERNAMA