Juruteknik rugi RM222,473 terpedaya love scam

Dari Penulis

SEORANG juruteknik kilang di sini kerugian RM222,473 selepas menjadi mangsa ‘love scam’ atau penipuan cinta oleh wanita yang dikenali menerusi laman Facebook sejak Januari lepas. 

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan Supt Aibee Ab Ghani berkata, lelaki berusia 45 tahun itu dihubungi oleh seorang wanita menerusi aplikasi ‘messenger’ Facebook yang memperkenalkan diri sebagai Mei Ling dan mendakwa dirinya seorang doktor dari Yaman. 

Beliau berkata, setelah persahabatan terjalin, wanita itu memberitahu mangsa bahawa dia akan menghantar bungkusan berisi wang sebanyak US$1 juta (RM4.2 Juta) dan lelaki itu perlu membuat pembayaran bagi penghantaran bungkusan tersebut. 

“Pada 18 Feb lepas, mangsa telah memasukkan wang berjumlah RM25,137 ke dalam satu akaun bank tempatan di sebuah bank di sini. Seterusnya pada 10 Mac lepas, mangsa sekali lagi telah memasukkan duit berjumlah RM60,650 ke akaun sama di sebuah bank di Nilai. 

“Empat hari kemudian, mangsa turut memasukkan wang berjumlah RM60,000 ke sebuah akaun bank tempatan milik individu lain bernama ‘Sellyhia’. Kedua-dua transaksi ini bagi melepaskan bungkusan pengadu yang tersangkut di Kastam Kemboja dan lapangan terbang Kemboja,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Baca artikel berkaitan: Hina polis, ‘Ain Singa’ dicekup

Aibee berkata mangsa membuat pembayaran sebanyak RM76,686 lagi ke akaun bank pertama pada 28 Mac lepas kerana dimaklumkan bahawa bungkusan tersebut perlu ditukar kepada nama mangsa dan pembayaran perlu dibuat. 

Menurutnya pihak bank ada bertanyakan kepada siapa wang itu diberikan, namun wanita terbabit terlebih dahulu meminta mangsa memberitahu bahawa ia adalah untuk urusan membayar hutang, perbelanjaan dan pinjaman bagi mengelakkan bank mengesyaki urusan transaksi itu.

Aibee berkata lelaki berkenaan sekali lagi diminta untuk membayar sebanyak RM41,000 kepada wanita itu pada 31 Mac lepas, namun mangsa tidak membuat pembayaran kerana tidak mempunyai wang selain berasa ditipu.

Mangsa telah membuat laporan polis dua hari lepas dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu, katanya.

— BERNAMA


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Berkaitan

Harga diesel turun 30 sen seliter minggu ini

HARGA diesel di Semenanjung diturunkan 30 sen seliter bagi tempoh 18 Jun hingga 24 Jun ini. Kementerian Kewangan dalam kenyataan...

More Articles Like This