Mahkamah: Zahid Hamidi dapat pasport untuk tunai umrah

Dari Penulis

BEKAS Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, kini boleh mengerjakan ibadah umrah selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini, membenarkan permohonannya agar pasportnya dikembalikan.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Collin Lawrence Sequerah membenarkan permohonan Presiden UMNO itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran berkata pihak pendakwaan tidak menerima arahan bagi membantah permohonan itu.

Beliau seterusnya berkata memandangkan tarikh Ahmad Zahid menunaikan umrah bertembung dengan tarikh perbicaraan pada 26 hingga 28 April, maka hari yang dilapangkan itu perlu diganti dengan tarikh baharu.

Terdahulu, peguam Ahmad Zahid, Hisyam Teh Poh Teik berkata pihak pembelaan berharap pasport anak guamnya itu akan dikeluarkan hari ini kerana dia memerlukannya untuk permohonan visanya.

Baca: Zahid Hamidi dapat semula pasport untuk rawatan di Munich

“Anak guam saya akan berlepas dari 21 April hingga 30 April dan berjanji bahawa pasport akan dikembalikan sebelum 5 Mei,” katanya.

Hakim Sequerah kemudian menetapkan 13 dan 15 April serta 1 Julai sebagai tarikh ganti untuk perbicaraan.

Sebelum ini, mahkamah menetapkan 23-26 Mei, 27-30 Jun, 4-7 Julai, 22, 23, 29 dan 30 Ogos, 19-22 dan 26-29 Sept, 17-20 dan 31 Okt, serta 1-3 Nov, 7-10 Nov untuk perbicaraan.

Pada 13 April, Ahmad Zahid akan memberi keterangan dalam perbicaraan pembelaannya terhadap 47 pertuduhan pecah amanah jenayah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi.

Pada 24 Jan tahun ini, Hakim Sequerah memerintahkan Ahmad Zahid membela diri terhadap semua pertuduhan selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie.

Pada Oktober tahun lepas, Mahkamah Tinggi membenarkan pemulangan sementara pasportnya  bagi membolehkan beliau menerima rawatan perubatan untuk sakit belakang dan leher daripada pakar terkemuka di Munich, Jerman.

— BERNAMA


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Warga emas pandu kereta lawan arus tersepit rempuh lori di Bentong

SEORANG warga emas berusia 74 tahun tersepit selepas kereta dipandunya yang dipercayai bergerak melawan arus bertembung dengan sebuah lori...

More Articles Like This