ISU kanak-kanak atau remaja menunggang basikal diubahsuai dikenali sebagai ‘basikal lajak’ kembali mendapat perhatian netizen selepas pemandu yang melanggar sekumpulan remaja berbasikal lajak hingga menyebabkan lapan kematian dijatuhkan hukuman penjara oleh Mahkamah Tinggi Johor Baharu, semalam.

Mahkamah Majistret sebelum ini membebas dan melepaskan seorang jurujual wanita daripada pertuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian tersebut tetapi hakim Mahkamah Tinggi semalam mengambil keputusan sebaliknya.

Jika keputusan Mahkamah Majistret sebelum ini menjadi isu kerana ramai mempertikaikan bagaimana pemandu itu, Sam Ke Ting, 27, yang merempuh sekumpulan remaja hingga menyebabkan jumlah kematian yang amat tinggi boleh terlepas, keputusan Mahkamah Tinggi semalam turut menjadi isu.

Netizen mula mempersoalkan siapakah yang bersalah sebenarnya apabila kejadian seperti itu berlaku walaupun mahkamah telah mengeluarkan keputusan yang wanita tersebut perlu membuat rayuan membela diri atau akan dihukum penjara dan denda.

Keadaan tersebut menjadikan ‘Sam Ke Ting’ dan ‘basikal lajak’ menjadi trending di Twitter dan netizen masing-masing telah melantik diri sendiri menjadi ‘hakim’ atau ‘peguam bela’ yang sangat hebat dengan memberi hujah-hujah kenapa pemandu tersebut sepatutnya tidak boleh dipersalahkan atau sememangnya patut dipersalahakan.

Mereka yang berpendapat wanita itu tidak bersalah telah melancarkan beberapa petisyen dalam talian meminta wanita tersebut dibebaskan di laman web chance.org.

Dalam petisyen itu mereka memetik keputusan hakim Mahkamah Majistret sebelum ini yang membebaskannya dengan alasan “Sam tidak berada dalam pengaruh alkohol, tidak menggunakan telefon bimbit dan memakai tali pinggang keledar ketika memandu yang menunjukan dia memandu dengan bertanggungjawab dan berhati-hati.

“Keadaan di kawasan yang gelap, berbukit dan jalan bengkok menyebabkan pemandu tidak dapat melihat sekumpulan remaja berbasikal berada di jalan raya pada pukul 3 pagi.”

Walaupun kenderaan Sam dalam keadaan teruk sehingga terbalik atas ke bawah dalam kemalangan tersebut tetapi sebahagian netizen mendakwa wanita tersebut memandu kenderaannya dalam kelajuan yang perlahan iaitu kira-kira 50 km sejam.

BERITA BERKAITAN Kerani wanita dipenjara enam tahun, denda kes kematian remaja basikal lajak

Bagi yang mempertahankan keputusan Mahkamah Tinggi pula mempertikaikan bagaimana kenderaan yang dipandu perlahan boleh menyebabkan keadaan basikal dan penunggangnya dalam keadaan teruk, di samping kenderaannya sendiri boleh terbalik?

Netizen Fabrizio [email protected] yang menjawab artikel sebuah akhbar tempatan berkata: “Kau tengok gambar kereta terbalik tu? Pandu kereta 50 km boleh jadi macam tu ke? Itu impak pandu laju, bukan 50 km/j”

Selain daripada cuba mempertikaikan keputusan Mahkamah Tinggi tersebut, netizen dan beberapa portal berita juga mula menyalahkan ibu bapa yang mana membiarkan anak-anak mereka berada di jalanan walaupun ketika itu telah pukul 3 pagi.

“Tragedi basikal lajak, ibu bapa perlu dibawa ke muka pengadilan” merupakan tajuk kepada artikel di portal FreeMalaysia Today yang mengandungi berita mengenai tanggungjawab ibu bapa bagi mengawal dan mengawasi anak-anak mereka agar tidak menjadi mangsa kemalangan jalan raya.

Artikel yang memetik seorang peguam, Nor Zabetha Muhammad Nor berkata, kanak-kanak dan remaja tidak seharusnya diberikan kebebasan oleh ibu bapa atau penjaga untuk melakukan aktiviti berkumpulan rakan sebaya di jalan raya, terutamanya pada lewat malam.

“Selagi mereka masih berusia 18 tahun ke bawah, maka menjadi tanggungjawab ibu bapa atau orang yang memelihara mereka, seperti keluarga angkat, datuk atau nenek,” katanya.

Beliau berpendapat penguatkuasaan Akta Kanak-Kanak 2001 perlu dikenakan terhadap ibu bapa kerana kecuaian atau mengabaikan tanggungjawab.

Sememangnya mudah untuk menuding jari kepada sesiapa sahaja apabila ada isu berbangkit – sama ada ibu bapa yang membiarkan anak berkeliaran di waktu malam, pemandu yang cuai atau penunggang basikal yang memang suka berbasikal dalam kelompok beramai-ramai.

Bukan sahaja remaja, kebelakangan ini golongan tua juga suka berbasikal dalam konvoi beramai-ramai di jalan raya hingga menyebabkan pemandu kenderaan lain terpaksa ‘ekstra’ berhati-hati apabila berdekatan dengan kumpulan mereka.

Bagi golongan remaja pula, perlu ada satu undang-undang yang melarang mereka berada di luar rumah selepas pukul 12 tengah malam, kecuali jika bersama keluarga masing-masing.

Bagi pemandu kenderaan pula, mereka seharusnya memandu pada awal pagi kerana sememangnya waktu tersebut adalah waktu yang kita sangat mengantuk dan sukar memberi fokus.

Jika anda sering memandu di waktu tersebut, sebaik-baiknya dapatkan kenderaan yang dilengkapi dengan sensor keselamatan yang mampu memberhentikan kereta secara automatik apabila mengesan ada objek yang terlalu dekat. – UtusanTV