Tertuduh kes dera kanak-kanak pengsan di kandang tertuduh

Dari Penulis

PROSIDING Mahkamah Sesyen Pulau Pinang hari ini dihentikan seketika selepas seorang wanita yang menghadapi pertuduhan kes mendera cucunya, rebah ketika berdiri di dalam kandang tertuduh semasa pertuduhan ke atasnya sedang dibacakan di hadapan hakim.

Bagaimanapun selepas kira-kira lima minit, mahkamah bersambung semula sebaik sahaja tertuduh, Rosnah V.S. Mydin, 48, mula pulih dan keadaan kesihatannya diperiksa oleh seorang doktor yang secara kebetulan berada di dalam mahkamah sama.

Rosnah, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mazdi Badul Hamid.

Menurut kertas pertuduhan, sebagai seorang yang mempunyai pemeliharaan terhadap kanak-kanak itu, Rosnah telah menganiaya cucunya sehingga menyebabkan dia mengalami kecederaan fizikal.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah kediaman di Flat Padang Tembak, daerah Timur Laut pada waktu siang bulan ini.

Baca: Siti Bainun dera Bella setiap hari – Saksi

Dia didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1) akta sama yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Amira Ruzaini Wan Abdul Razak manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin berserta tiga syarat tambahan iaitu perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap bulan sehingga perbicaraan selesai, menyerahkan pasport kepada mahkamah dan tidak dibenarkan mengganggu saksi perbicaraan.

Mazdi menetapkan sebutan semula kes pada 30 Mei untuk serahan dokumen serta supaya tertuduh melantik peguam.

— BERNAMA


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Malaysia ucap tahniah kepada parti pemerintah China sempena ulang tahun penubuhan ke-105

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mewakili kerajaan dan rakyat Malaysia mengucapkan tahniah kepada parti pemerintah China sempena ulang...

More Articles Like This