SAMBUTAN Hari Wartawan Nasional (HAWANA) yang bermula pada tahun ini akan dianjurkan di bandar-bandar berbeza setiap tahun pada masa akan datang.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, persatuan kewartawanan boleh memilih bandar-bandar dalam negara untuk dijadikan lokasi penganjuran sambutan HAWANA.
Selain itu, jelas beliau, bandar-bandar yang berminat untuk menjadi tuan rumah bagi sambutan HAWANA juga boleh membuat bidaan atau pengesyoran kepada persatuan berkenaan.
“Kita melihat akan ada siri aktiviti sekurang-kurangnya tiga hari bagi sambutan HAWANA ini dengan pelbagai pengisian berkaitan dunia kewartawanan.
“Misalnya, festival fotografi, hari wacana, bual bicara antarabangsa berkaitan dunia kewartawanan dan acara sampingan lain.
“Hal ini supaya dapat membangkitkan kesedaran rakyat tentang peranan wartawan yang berkait rapat dengan kehidupan seharian mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam majlis Apresiasi Pengamal Media di Hotel Le Mederien hari ini.

Baca artikel berkaitan: HAWANA 2022 platform perkukuh ekosistem kewartawanan negara
Mengulas lanjut, Annuar berkata, Sambutan HAWANA 2022 bukan sahaja sebagai pengiktirafan peranan wartawan tempatan malah platform untuk memperkukuh ekosistem kewartawanan negara.
Jelas beliau, HAWANA 2022 yang bakal berlangsung pada 29 Mei di Melaka akan dihadiri wartawan dan pengamal media tempatan selain disertai wakil dari beberapa negara jiran termasuk Indonesia.
“Tugas dan peranan bidang kewartawanan ini amat sinonim dalam membantu pembangunan negara, perjuangan negara dan negara bangsa.
“Kalau kita boleh meraikan banyak profesion lain, adalah tidak wajar kita tidak memberikan pengiktirafan tertinggi kepada wartawan kita,” katanya.
HAWANA 2022 akan dimulakan dengan Konvensyen Media pada 28 Mei ini bagi membincangkan hala tuju dan masa depan media, terutamanya apabila berhadapan dengan perubahan teknologi dan persekitaran yang semakin mencabar.
HAWANA 2022 akan dirasmikan pada 2 petang 29 Mei, di sebuah hotel di Melaka dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah mengesahkan kehadiran beliau untuk merasmikan acara berkenaan.
Seramai 17 pemimpin utama media dari Indonesia turut diundang untuk menghadiri HAWANA 2022.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegra

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

