Denden Gonjalez tidak kisah dibandingkan dengan Amy Search

Dari Penulis

VOKALIS terbaru kumpulan rock tersohor tanah air Search, Denden Gonjalez menyatakan bahawa dirinya tidak kisah dengan kritikan peminat membandingkan dirinya dengan penyanyi lama, Amy Search.

Menurut Denden, dia menghormati kejayaan yang dicapai oleh Amy dan mengakui bahawa penyanyi lagenda rock itu merupakan idolanya sejak kecil lagi.

Denden, atau nama sebenarnya Denden Samsuhender, 39, memberitahu bahawa dia bersikap terbuka untuk menerima apa sahaja kritikan peminat Search terhadap dirinya.

Malah, dia berlapang dada serta tidak pernah berasa tertekan jika ada yang cuba untuk membandingkan dirinya dengan bekas vokalis Search itu.

“Saya lebih kepada penerimaan. Saya hormati abang Amy (Search) dan saya akui bahawa dia merupakan idola saya sejak kecil lagi. Bagi saya, dialah yang terbaik.

“Jadi, saya faham dan akan menerima sahaja komen atau kritikan daripada peminat kepada saya. Saya tidak kisah”, katanya kepada URTV.

Vokalis Search, Denden Gonjales. GAMBAR: Abd Razak Aid

Denden ditemui pada sidang media konsert Search Rocking on Rooftop di Hotel Grand Campbell Kuala Lumpur, semalam.

Tambah penyanyi kelahiran Indonesia itu, menyertai kumpulan Search merupakan impiannya sejak kecil lagi.

“Saya meminati lagu-lagu Search sejak kecil lagi. Dan apabila saya diberi peluang untuk menjadi vokalis utama kepada kumpulan ini, saya sangat teruja.

“Terima kasih kepada abang Din (Nordin Taib) dan ahli-ahli yang lain kerana mempercayai saya.

“Saya akan berikan yang terbaik”, ujarnya.

Selain Denden selaku vokalis, Search kini dianggotai oleh Noordin (gitaris), Kid (gitaris), Yam (bass) dan Pae (dram).

Untuk rekod, Denden pernah menyertai program rancangan televisyen popular, The Voice di Bulgaria beberapa tahun yang lalu.

Melalui program tersebut, Denden mula dikenali ramai dengan lagu She’s Gone yang dinyanyinya ketika segmen ‘blind audition’ di mana semua juri mengagumi persembahannya ketika itu.

Konsert Search Rocking on Rooftop akan berlangsung pada 11 Jun, pukul 9 malam di tingkat 4 Kompleks Campbell, Jalan Dang Wangi, Kuala Lumpur yang akan menyaksikan Denden tampil bersama Search buat kali pertama.

Kumpulan Search bakal mengadakan Search Live in Concert ‘Rockin’ On Rooftop’ di Kompleks Campbell pada 11 Jun, nanti. GAMBAR: Abd Razak Aid

Apa yang lebih menarik, konsert tersebut juga bakal menampilkan Ratu Rock, Ella sebagai penyanyi undangan yang akan berduet bersama Denden.

Tiket-tiket konsert dijual dengan harga RM88, RM198 dan RM298.

Walau bagaimanapun, tiket berharga RM88 sudah habis dijual.

Tiket boleh dibeli di Search Rock Station, Kompleks Campbell manakala untuk pembelian dalam talian, boleh melayari laman web www.fenomenasearch.com.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Kaki drama bersorak! Viu & iQIYI bergabung tenaga, tawar pakej langganan ‘dua dalam satu’

BERITA baik buat penggemar tegar naskhah dari rantau Asia! Dalam satu pengumuman yang menggegarkan industri hiburan digital serantau hari...

More Articles Like This