Tangkap layar video memaparkan sebuah SUV tidak memberikan laluan kepada ambulans walaupun siren sudah dibunyikan.

PEMANDU Honda CRV yang didakwa menghalang laluan ambulans walaupun siren telah lama dibunyikan dalam video yang tular sebenarnya mengalami masalah pendengaran.

Perkara itu dimaklumkan Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Mohamad Nazri Daud dalam kenyataan hari ini.

Menurut Mohamad Nazri, polis menjalankan siasatan dan berjaya mengesan pemandu kenderaan itu susulan penularan video dalam kejadian yang dipercayai berlaku di Kilometer (KM) 292 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) menghala ke utara itu.

Sehubungan itu, beliau berkata, pihaknya telah mengarahkan pemandu dan pemilik kenderaan tersebut untuk hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kampar bagi siasatan lanjut.

“Hasil siasatan lanjut mendapati pemandu kenderaan tersebut iaitu seorang lelaki berusia 62 tahun mengalami masalah pendengaran tinnitus-acoustic neuroma sejak tiga tahun lalu.

“Lelaki tersebut masih lagi mendapat rawatan lanjut pakar di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

“Polis Daerah Kampar melalui Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik akan mengambil tindakan sewajarnya ke atas pemandu tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baca artikel berkaitan: Tidak beri laluan kepada ambulans, Dr. Noor Hisham kecewa sikap pemandu

Petang tadi, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah tidak menyembunyikan rasa kecewa terhadap sikap pemandu yang tidak memberikan laluan kepada sebuah ambulans.

Menerusi ciapan di Twitter, Dr. Noor Hisham turut menyifatkan tindakan seorang pemandu menghalang laluan ambulans itu sebagai mementingkan diri sendiri.

Beliau turut berkongsi satu rakaman video menunjukkan ambulans itu dihalang dipercayai di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS).

“Astaghfirullah, masih ada pemandu yang pentingkan diri sendiri sampai sengaja tidak memberikan laluan kepada pihak ambulans walaupun siren sudah lama dibunyikan di belakang kereta ini,” katanya dalam ciapan tersebut.

Dalam rakaman video berkenaan, pemandu kenderaan utiliti sukan (SUV), Honda CRV bertindak memandu di lorong paling kanan sebelum sebuah ambulans menghampiri.

Walaupun ambulans tersebut telah membunyikan siren, namun pemandu kenderaan itu masih ‘berdegil’ dan tidak bergerak ke bahagian kiri.

Ambulans tersebut kemudiannya terpaksa memotong di lorong kiri.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram