MAKLUMAT yang tidak tepat merupakan faktor utama ambulans tiba lewat ke lokasi kemalangan jalan raya yang berlaku di Jelapang, Ipoh, pada 11 Februari lalu.
Jabatan Kesihatan Negeri Perak (JKNP) dalam kenyataan memaklumkan, semakan melalui Pusat Koordinasi Perubatan Kecemasan (MECC) mendapati satu panggilan kecemasan telah diterima berkaitan kemalangan tersebut.
Susulan itu, jelas JKNP, tindakan mengikut protokol bantuan kecemasan telah dilaksanakan.
Menurut JKNP, laporan daripada Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh mendapati bahawa sebuah ambulans telah digerakkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan pada 3.05 petang.
“Lokasi awal kejadian yang dilaporkan adalah di kawasan Taman Perumahan sekitar Puncak Jelapang, iaitu sejauh lapan kilometer daripada HRPB.
“Setelah tiba di lokasi pertama dan mendapati tiada kejadian seperti yang dilaporkan, pengesahan lokasi kemudian dilakukan melalui panggilan kepada pemanggil dan mendapati lokasi sebenar adalah di kawasan Lebuhraya Ipoh Lumut menghala ke Jelapang,” jelas JKNP.
Baca juga: Pemandu Kelisa maut tersepit kemalangan dengan lori
JKNP menambah, setibanya di lokasi kejadian sebenar pada pukul 3.55 petang, penilaian keadaan semasa mangsa telah dilakukan.
Jelas JKNP, protokol bantuan kecemasan oleh Pegawai Perubatan telah dilaksanakan terhadap mangsa berusia 33 tahun dan seorang kanak-kanak berusia tiga tahun.
JKNP memberitahu, mangsa wanita didapati mengalami kecederaan serius manakala mangsa kanak-kanak didapati tidak sedarkan diri dan telah diberikan bantuan resusitasi di lokasi kejadian secara serta-merta.
Menurut JKNP, kedua-dua mangsa telah dibawa menggunakan ambulans dan kanak-kanak berkenaan turut diberikan tindakan resusitasi aktif sepanjang perjalanan ke Jabatan Kecemasan dan Trauma HRPB.
Terdahulu, dilaporkan kejadian berlaku kira-kira jam 3.35 petang membabitkan sebuah Honda Civic milik polis dan sebuah Perodua Kelisa yang bergerak dari arah bertentangan.
Siasatan awal mendapati Perodua Kelisa yang dalam perjalanan dari Jelapang menghala ke Lumut dipercayai tiba-tiba memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan kereta peronda polis berkenaan.
Akibat perlanggaran itu, pemandu kenderaan polis mengalami kecederaan pada kedua-dua kaki, manakala penumpangnya patah bahu kiri serta cedera pada kelopak mata kanan.
Sementara itu, abang mangsa menerusi hantaran di akaun Instagram miliknya, @steven.feb22, meminta individu yang mempunyai rakaman kamera papan pemuka atau maklumat berhubung kejadian supaya tampil membantu siasatan dan membuat laporan polis.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

