Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. GAMBAR: Abd Razak Aid

DATUK Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa beliau terkejut apabila seorang rakan kongsi Tetuan Lewis & Co telah melakukan kesilapan dengan menyatakan firma guaman itu memegang amanah dana milik Yayasan Al-Falah.

Ahmad Zahid, 69, berkata perkara itu dinyatakan oleh peguam B. Muralidharan yang merupakan saksi pendakwaan ke-87 semasa memberi keterangan di mahkamah.

“Saya menyatakan bahawa keterangan Encik Muralidharan sama sekali tidak benar. Berdasarkan pengetahuan saya, saya menegaskan bahawa dana-dana yang dipegang oleh Lewis & Co adalah milik Yayasan Akalbudi (YAB),” katanya ketika membacakan pernyataan saksi semasa membela diri atas 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya melibatkan pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram, membabitkan puluhan juta ringgit dana milik YAB.

Yayasan Al-Falah adalah milik keluarga Ahmad Zahid dan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah yayasan itu adalah adiknya, Datuk Seri Mohamad Nasaee Ahmad Tarmizi.

Ahmad Zahid berkata setelah mendengar keterangan Muralidharan, beliau berbincang bersama barisan peguamnya dan dinasihatkan untuk membuat laporan polis.

Kepada soalan peguamnya Datuk Ahmad Zaidi Zainal, mengapa laporan polis dibuat selepas saksi memberikan keterangan di mahkamah, Ahmad Zahid berkata beliau hanya mengetahui perkara itu semasa di mahkamah.

“Saya berbincang dengan peguam untuk mencari jalan terbaik…kebenaran harus ditegakkan, maka laporan polis dibuat sebagai bukti bahawa ia (keterangan) telah disalah anggap dan bagi membetulkan persepsi salah yang dilakukan oleh saksi,” katanya yang mengenali Muralidharan, yang juga pemegang amanah YAB di satu majlis perkahwinan di Kuala Lumpur sejak 30 tahun lalu.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata peguam Faisalludin Mohamat Yusoff yang merupakan saksi pendakwaan ke-66 semasa memberikan keterangan di mahkamah pada 17 Jun 2020 turut menyatakan bahawa dana yang dipegang oleh Lewis & Co bukan milik Yayasan Al-Falah.

Sementara itu, Ahmad Zahid menafikan sekeras-kerasnya dakwaan pihak pendakwaan bahawa cek-cek yang dimasukkan ke dalam akaun Lewis & Co merupakan hasil daripada aktiviti haram, sebaliknya memaklumkan cek-cek yang diberikan kepada Yayasan Akalbudi atas tujuan kerja-kerja amal jariah dan sumbangan politik.

“Dakwaan tersebut adalah tidak betul dan tidak berasas. Saya menyatakan bahawa semasa di peringkat pendakwaan, saksi-saksi pendakwaan telah dipanggil ke mahkamah untuk memberi keterangan dan semua saksi-saksi ini merupakan penderma-penderma Yayasan Akalbudi yang telah memberi keterangan langsung dan melalui rakaman percakapan mereka di mahkamah, mereka memberitahu mereka telah membuat sumbangan bagi tujuan kerja-kerja amal jariah,” katanya.

Sebelum ini, Ahmad Zahid memberitahu mahkamah bahawa beliau sendiri telah memberi arahan kepada Affin Bank untuk membuat pindahan dana YAB berjumlah RM17,953,185.21 daripada bank itu kepada akaun pelanggan Lewis & Co dan wang tersebut masih milik yayasan itu bukan kepunyaan Yayasan Al-Falah, firma guaman itu atau orang lain.

Ahmad Zahid berdepan dengan 27 pertuduhan pengubahan wang haram dengan melibatkan diri dalam transaksi secara langsung membabitkan pendapatan daripada aktiviti haram antara 29 Mac 2016 dan 11 April 2018, dan kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di cawangan Maybank Dataran Maybank di Jalan Maarof, Bangsar dan Marhaba Enterprise Sdn Bhd, Fahrenheit88, 179 Jalan Bukit Bintang pada tarikh sama.

Terdahulu, Ahmad Zahid berkata beliau tidak pernah meminta tiga cek berjumlah RM2 juta daripada pengarah Profound Radiance Sdn Bhd, Azlan Shah Jaffril di tiga lokasi berasingan di Putrajaya.

Ahmad Zahid berkata beliau juga tidak pernah meminta wang tersebut daripada mana-mana pihak dari syarikat pemprosesan visa itu dan perkara berkenaan disahkan oleh Azlan Shah, yang merupakan saksi pendakwaan ke-38 semasa memberi keterangan di mahkamah.

“Saya juga ingin menegaskan bahawa saya tidak menerima dana-dana ini secara rasuah kerana dana-dana ini adalah atas tujuan amal jariah dan sumbangan politik sebagaimana yang dinyatakan Azlan Shah di mahkamah,” katanya.

Menurut Ahmad Zahid, berdasarkan keterangan Azlan Shah di mahkamah, cek pertama berjumlah RM300,000 telah diletakkan di atas meja di pejabatnya, cek kedua RM1 juta diserahkan semasa beliau sedang berjalan menuju ke kereta selepas selesai satu majlis di Pejabat Kementerian Dalam Negeri Putrajaya, pada 4 Jan 2018 manakala cek RM700,000 diberikan di Seri Satria.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung 27 Jun ini.

— BERNAMA