Penyerang naturalisasi, Guilherme de Paula tetap mendapat kepercayaan Kim Pan Gon untuk membarisi skuad 23 pemain bagi menghadapi pusingan kelayakan Piala Asia minggu depan./ Gambar Twitter FAM

SETELAH lebih dua tahun, ‘ngauman’ Harimau Malaya kembali bergema di stadium keramat, Stadium Nasional Bukit Jalil, selepas ‘membaham’ Brunei 4-0, dalam perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1, malam tadi.

Apa yang menarik buat pengendali baharu, Kim Pan Gon itu ialah kemenangan hasil daripada kepercayaannya untuk memilih pemain yang paling teruk dikritik dalam dunia maya, Guilherme de Paula menyertai skuad kebangsaan dan juga mengambil sepakan penalti.

Selepas diberikan peluang tersebut, pemain naturalisasi negara itu tiada masalah mendapatkan gol keempat negara melalui sepakan penalti dan juga menjadi ‘arkitek’ bagi gol ketiga Malaysia sebelum itu selepas membuat hantaran cantik kepada Faisal untuk menyudahkan pada minit ke-57.

Seorang peminat bola sepak, Añ[email protected] memuji mengenai prestasi De Paula di laman Twitternya dengan mencatatkan: “De paula, 1 goal 1 assist…not bad (1 gol, 1 bantuan golf, pencapaian agak baik).

Kin [email protected] pula di laman Twitternya berkata, terdapat banyak sorakan dan sokongan kepada De Paula diterimanya oleh penonton di stadium, malahan ramai yang menjerit meminta namanya dicalonkan untuk mengambil penalti.

“Keadaan itu agak berbeza dalam dunia online yang menkritiknya. Ia juga sesuatu yang baik menyaksikan peminat memberi sokongan kepada pemain negara ketika permainan sedang berlangsung,” tambahnya.

BERITA BERKAITAN Jurulatih bertukar, tetapi De Paula tetap jadi pilihan

Bagaimanapun, seperti biasa masih ramai peminat bola sepak yang menkritik permainan De Paula semalam disebabkan dia tidak berjaya menjaringkan gol walaupun mempunyai peluang yang baik, tiga minit sebelum mengambil tendangan penalti.

Ini adalah kemenangan kedua buat pengendali baharu, Kim Pan Gon sekali gus membekalkan tonik terbaik sebelum mengharungi satu lagi aksi persahabatan menentang Hong Kong di venue sama, Rabu ini.

Menentang lawan di ranking ke-191 dunia itu, peluang jelas dimanfaatkan sepenuhnya oleh Pan Gon untuk menjalankan ‘eksperimen’ terutamanya dengan memberikan penampilan pertama kepada pertahanan, V Ruventhiran.

Selain Ruventhiran, Pan Gon turut memberikan kepercayaan kepada beberapa pemain simpanan antaranya seperti Khairul Azhan Khalid, Syahmi Safari, Mohamadou Sumareh dan Faisal Halim untuk membarisi kesebelasan utama.

Gawang Brunei hanya sempat bertahan 15 minit selepas Malaysia membuka jaringan menerusi tandukan Syafiq Ahmad berpunca daripada sepakan sudut yang diambil Ruventhiran.

Beberapa percubaan tanpa ‘tujuan’ yang dilancarkan pemain negara selepas itu tidak cukup untuk mengubah kedudukan sehinggalah Syamer Kutty Abba menyudahkan hantaran satu dua Faisal untuk menjadikan kedudukan 2-0 di penghujung babak pertama. – UtusanTV