Kim Pan Gon dan barisan kejurulatihan Harimau Malaya pada sidang media hari ini bagi mengumumkan senarai 29 pemain yang akan sertai kem latihan menjelang aksi kelayakan Piala Asia./Gambar FB FAM

SEPARUH daripada 29 pemain yang dipanggil menyertai Kem Latihan Pusat Harimau Malaysa bermula 19 Mei ini terdiri daripada bintang-bintang Johor Darul Taazim (JDT).

Memang selayaknya termasuklah yang lebih banyak di bangku simpanan kerana kelab selatan tanah air itu dalam prestasi terbaik seperti dipamerkan dalam aksi Asian Champions League (ACL) bulan lalu.

Namun, ada seorang daripada 14 pemain JDT itu menjadi ‘bahan’ peminat bola sepak tanah air di ruang komen media sosial – tidak lain tidak bukan ialah Guilherme De Paula.

De Paula, 36, antara empat penyerang yang dipanggil Kim Pan Gon bagi persiapan menghadapi dua Perlawanan Antarabangsa Tier 1 bertemu Brunei pada 27 Mei dan Hong Kong pada 1 Jun seteruskan saingan kelayakan Piala Asia 2023.

Striker lain ialah Darren Lok, Syafiq Ahmad dan Nor Shahrul Idlan Talaha selain beberapa pemain serangan di bahagian sayap seperti Akhyar Abdul Rashid, Safawi Rasid, Sumareh dan sudah tentu, Arif Aiman.

Persoalan popular di media sosial kenapa De Paula?

Jawapan Pan Gon:

“Walaupun banyak orang berkata mengenai diri De Paula, tapi saya mahu lihat dia bermain di depan mata saya sendiri,” kata jurulatih asal Korea itu pada sidang media hari ini.

De Paula
Pemain Harimau Malaya, Guilherme de Paula. – Foto Twitter FAM

Kali terakhir De Paula menyertai skuad kebangsaan ialah pada kejohonan Piala AFF Suzuki.

Tidak banyak yang pemain naturalisasi itu sumbangkan dan Harimau Malaya bimbingan Tan Cheng Hoe kemudian kandas awal.

Ia kemudian disusuli peletakan jawatan Cheng Hoe dan digantikan Pan Gon yang sebelum ini telah melalui dua aksi di sebuah kejohanan persahabatan di Singapura.

Baca: Piala AFF: Sumareh, De Paula kekal bersama Harimau Malaya

De Paula atau Luqman Hakim, Cheng Hoe belum putuskan

Senarai 29 pemain yang dipanggil Kim Pan Gon menyertai kem latihan Harimau Malaya./Grafik FAM

Sementara itu, Pan Gon menjelaskan terdapat sembilan muka baharu bagi kem latihan pusat kali ini untuk mewujudkan suasana kompetitif dalam pasukan.

Selain De Paula, Mat Yo dan Darren, muka baharu yang dipanggil Pan Gon ialah Matthew Davies, Afiq Fazail, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed dan Junior Eldstal.

Dua pemain lagi adalah Syahmi Safari serta Nazmi Faiz Mansor.

“Kesemua pemain ini masih belum tentu berada dalam senarai akhir kerana semua akan dinilai terlebih dahulu sebelum disenarai dalam senarai akhir.

“Saya harap anda memahami keputusan yang dibuat,” katanya.

Pan Gon turut menyenaraikan Safiq Rahim dalam skuad 29 pemain itu.

Walaupun orang lama dalam skuad kebangsaan, prestasi Safiq kebelakangan ini jelas menambat hati jurulatih kelahiran Korea itu.