KETUA UMNO Bahagian Ketereh, Tan Sri Annuar Musa menjadi perhatian pada Konvensyen Barisan Nasional (BN) semalam.
Hal itu berlaku sewaktu Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyentuh soal tarikh Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15)yang mana semua hadirin diminta berdiri bagi menyokong jika mahu ia diadakan segera.
Ketika orang lain berdiri, Ahli Parlimen Ketereh itu memilih untuk kekal duduk di kerusinya.
Perkara itu menjadi tular hinggakan ada komen daripada pemimpin lain mengulas tindakan Annuar.
Namun, bagi Menteri Komunikasi dan Multimedia itu, beliau tidak perlu berdiri hanya kerana orang lain berdiri, atau kerana segan, tak tergamak, kerana disuruh berdiri dan sebagainya.
Menurut Annuar, beliau bersetuju PRU disegerakan sebaik sahaja BN benar-benar sudah siap siaga.
“Tadi (semalam) Pengerusi BN bertanya pada khalayak, bila mereka mahu PRU diadakan. Kemudian disuruh berdiri. Saya perhatikan ramai terpinga pinga, ramai juga yang spontan berdiri.
“Ada yang tunggu nak tengok kawan berdiri atau tidak. Ada yang berdiri tapi memberitahu pendirian yang berbeza. Biasalah dalam situasi yang begitu,” katanya menerusi Facebook beliau.
Jelas Annuar, beliau berpegang pada prinsip tarikh pilihan raya adalah senjata parti yang sedang memerintah iaitu BN.
Baca: Desak PRU-15 dipercepat pentingkan diri, tak fikir rakyat
Katanya, hal itu perlu dibincang tertutup dan pada masa sama semua pihak perlu jujur.
“Kalau sudah “ready” kata ready. Tapi kalau kerja pun belum buat, dana belum tersedia, data belum terurus, jentera belum terlatih, tapi kita mendakwa kita sudah “ready”, itu menolak ikhtiar namanya,” tegas beliau.
Kata Ahli Parlimen Ketereh itu, pengelaman sebelum ini telah banyak menyaksikan yang didakwa yakin menang, akhirnya kalah manakala yang dikata sudah bersedia sebenarnya belum lagi.
Begitulah juga kata Annyar, yang kononnya ada dana, kehabisan dana selepas beberapa hari kempen bermula, yang dikata ramai “putih” akhirnya “hitam” dan sebagainya.
“Saya percaya YAB Perdana Menteri akan memberi semula mandat pada rakyat, bukan dalam tergopoh-gapah, atau di saat suasana yang berterabur, sebaliknya diketika rakyat bersedia dan yakin untuk memberi manda semula kepada yang sedang berkuasa iaitu BN,” ujarnya.
Annuar juga berkata, tiga garis panduan yang dicadang Perdana Menteri dalam ucapannya tadi amat relevan sekali.
“Itu namanya THE WINNING FORMULA,” kata Annuar.

